SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

11 November 2008

413 PEKERJA KONTRAK JABATAN PELAJARAN DIBERHENTIKAN

Utusan Malaysia
10/11/2008

KOTA BHARU 10 Nov. - Seramai 413 pekerja sambilan dan kontrak di Jabatan Pelajaran Kelantan kehilangan punca pendapatan apabila khidmat mereka tidak lagi disambung.
Ia membabitkan bidang tugas sebagai tukang cuci, tukang sapu (sambilan), jaga dan tukang kebun (kontrak) di sekolah-sekolah di seluruh negeri, kebanyakannya di kawasan luar bandar.
Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Kelantan, Samsudin Mohd. Nor berkata, seramai 113 pekerja sambilan yang dibayar gaji sebanyak RM28.50 sehari telah ditamatkan perkhidmatan pada 31 Julai yang lepas.
''Kesemua pekerja wanita yang telah berkhidmat lima hingga 10 tahun tidak lagi disambung dan kontraktor swasta yang mengambil alih pengurusan tidak pula mengutamakan mereka sebagai kakitangan," ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau kesal dengan apa yang berlaku kerana rata-rata pekerja sambilan itu daripada keluarga miskin dan bekerja untuk menampung keperluan keluarga.
''Disebabkan kehilangan pekerjaan, mereka terpaksa mencari kerja lain termasuk melakukan kerja-kerja berat seperti salah seorang daripadanya membawa teksi kerana suaminya sakit," katanya.
Katanya, nasib yang sama katanya bakal menimpa 300 pekerja yang didakwa akan ditamatkan kontrak pada 31 Disember depan dan sehingga kini mereka tidak menerima sebarang tawaran penyambungan kontrak.
''Agak menyedihkan jika kontrak mereka tidak disambung kerana telah bekerja dari 10 hingga 15 tahun sebagai jaga dan tukang kebun di sekolah-sekolah luar bandar," ujarnya.
Tambahnya, jika kontrak mereka ditamatkan dan tidak disambung lagi, mereka kehilangan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.
''Apabila ditawarkan kerja oleh kontraktor yang memenangi tender bagi menyalurkan perkhidmatan, gaji baru yang ditawarkan tentunya hanya sekitar RM400 hingga RM600 sebulan," jelasnya.

Tiada ulasan: