SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 November 2008

PROSEDUR KURANG CARUMAN KEKAL

Berita Harian
10/11/2008


TASEK GELUGOR: Kerajaan tetap dengan keputusan membenarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengurangan caruman tiga peratus secara automatik kecuali pencarum memohon untuk kekal pada kadar lama. Mengikut prosedur KWSP, pencarum perlu mengisi borang KWSP 17A (AHL) jika ingin mengekalkan caruman 11 peratus, manakala potongan tiga peratus tidak perlu berbuat demikian. Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata keputusan kerajaan mengekalkan prosedur itu selepas mengambil beberapa faktor seperti yang diguna pakai sebelum ini.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang, ramai memerlukan wang tambahan dan pengurangan itu diharap membantu orang ramai. “Saya faham ramai yang fikir ia berguna kerana mereka perlu duit untuk masa depan, duit itu akan tolong jika mereka memerlukannya,” katanya selepas menutup program Rakan Muda Wawasan Desa Institut Pengajian Tinggi anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di Pongsu Seribu, semalam. Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan langkah menambah pendapatan pekerja termasuk membenar pengurangan caruman kepada KWSP secara sukarela tiga peratus selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009.
KWSP dalam penjelasannya selepas itu memaklumkan pencarum yang mahu mengekalkan caruman 11 peratus perlu mengisi borang KWSP 17A (AHL). Bagaimanapun ketetapan itu dibantah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Cuepacs kerana menganggap seolah-olah sesuatu yang wajib dan automatik. Mengulas tanggapan sedemikian, Nor Mohamed berkata, setiap pihak mempunyai pandangan tersendiri berhubung keputusan KWSP kecuali mereka yang memohon untuk kekal pada kadar lama. “MTUC mengatakan sistem ini tidak baik daripada sebelum ini. Itu pandangan mereka, kita hormat dan mungkin juga MTUC ada pendapat lain, tapi kerajaan sudah putuskan untuk menggunakan cara ini," katanya.
Sementara itu, di GEORGETOWN, Nor Mohamed berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan menaikkan dagangan mata wang asing harian bagi syarikat pengurup wang daripada RM250,000 kepada RM2 juta. Beliau berkata, cadangan Persatuan Saudagar Barang-Barang Emas dan Pengurup Wang Melayu Pulau Pinang itu akan dibincangkan dengan Bank Negara dalam masa terdekat. “Kita akan bincang dengan Bank Negara secepat yang mungkin,” katanya selepas merasmikan bangunan Persatuan Saudagar Barang-Barang Emas dan Pengurup Wang Melayu Pulau Pinang, semalam. Presiden Persatuan Saudagar Barang-Barang Emas dan Pengurup Wang Melayu Pulau Pinang, Abdul Waheed S Abdul Wahab dalam ucapannya meminta kerajaan menaikkan had dagangan mata wang asing harian supaya pedagang boleh memperluaskan perniagaan mereka.

Tiada ulasan: