•  Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
    Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
KUALA KANGSAR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mengutamakan 45,000 penjawat awam berstatus kontrak yang berkhidmat lima hingga 10 tahun diserap ke jawatan tetap.
      
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini kerana penjawat awam berstatus kontrak itu diberi tempoh bekerja sehingga 31 Disember tahun depan sebelum diserap ke jawatan tetap.
      
"Saya berharap agar selepas tarikh itu tiada lagi penjawat yang berstatus kontrak dalam sektor perkhidmatan awam," katanya selepas bertemu dan berdialog dengan penjawat awam dalam satu majlis anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Beliau turut meminta jabatan dan agensi kerajaan agar tidak memberhentikan perkhidmatan kakitangan kontrak yang telah lama bekerja secara drastik.
       
"Kita harap mereka ini janganlah diberhentikan supaya mereka dapat menikmati kemudahan sebagaimana jawatan tetap, termasuk pinjaman perumahan, perubatan dan pampasan perkhidmatan sendiri," katanya.

Omar berkata, Cuepacs turut menerima laporan ada kakitangan kontrak yang berkhidmat melebihi 10 tahun di jabatan kerajaan tidak diserap ke jawatan tetap walaupun sering menghadiri temu duga.
      
Beliau berkata, perkara itu akan dibangkit dalam Konvensyen Tahunan Cuepacs yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Disember ini.   
      
Selain itu, beliau berharap kebajikan kakitangan kontrak yang menerima caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula 1 Jun lepas diberi perhatian.
      
"Perkara ini memang tertakluk kepada semua jabatan dan agensi tetapi ada majikan yang tidak prihatin mengenai isu ini dengan memberi alasan tiada bajet yang mencukupi untuk menanggung kakitangan kontrak," katanya. - Bernama