SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

07 Oktober 2011

BELANJAWAN 2012 : (REAKSI) (NGO) KAWAL KENAIKAN HARGA BARANG EKORAN BONUS, KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM - NGO

Bernama
7/10/2011



KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta mengambil langkah mengawal peningkatan harga barang yang mungkin berlaku susulan pengumuman kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Lok Yim Pheng berkata jika perkara itu tidak dikawal, matlamat kerajaan untuk mengurangkan beban yang ditanggung penjawat awam tidak tercapai.

"Dengan kenaikan gaji ini, saya amat berharap kerajaan memberi penekanan kepada pengawalan harga barang keperluan harian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 hingga RM320 mengikut gred bermula tahun depan.

Lok turut menyambut baik bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

"Ini memberi peluang kepada penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan di samping mengekalkan prestasi kerja mereka," katanya.

Mulai 2012, kerajaan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang pengajian peringkat ijazah sarjana dan 500 doktor falsafah (PhD) kepada penjawat awam yang layak termasuk guru dengan peruntukan RM120 juta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

Najib berkata SBPA memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja.

Sementara itu, Lok yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan meminta kerajaan menimbang pemansuhan kutipan yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya cadangkan agar kerajaan memansuhkan kutipan yuran PIBG kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000. Ini dapat mengurangkan beban keluarga yang masih dalam kategori pendapatan rendah," katanya.

Pada masa yang sama beliau gembira kerana Perdana Menteri memberi perhatian kepada profesion perguruan apabila memendekkan tempoh kenaikan gred.

Berdasarkan skim baru mengikut 'time-based', seseorang guru akan dinaikkan gred DG44 pada tahun ke lapan dan gred 48 pada tahun ke-16 selain guru bukan siswazah gred 29 kepada gred 32 dalam masa lapan tahun sahaja.

Di bawah SBPA juga, kenaikan gred 32 ke 34 turut mengguna pakai kaedah 'time-based' lapan tahun, berbanding bergantung kepada kekosongan yang diamalkan sekarang. -- BERNAMA

Tiada ulasan: