SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

19 Oktober 2011

KERAJAAN DIRAYU SAMBUNG KONTRAK 45,000 STAF

Utusan Malaysia
19/10/2011 2:17am



KUANTAN 19 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyambung semula kontrak kira-kira 45,000 penjawat awam yang akan tamat pada 31 Disember ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, beliau menerima aduan daripada banyak agensi, jabatan dan badan berkanun bahawa kesemua penjawat awam daripada pelbagai jawatan itu tidak akan disambung semula kontrak mereka.

"Kesemua mereka telah menerima surat rasmi bahawa kontrak mereka yang bakal tamat hujung tahun ini tidak akan disambung seperti kebiasaan.

"Justeru, saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mempertimbangkan perkara ini dengan menyambung semula kontrak mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat isu semasa dan dialog di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini semalam.

Menurut Omar, seiring dengan dasar kerajaan pada 2012, maka beliau yakin pelbagai kekosongan jawatan boleh ditawarkan kepada mereka.

"Saya menyeru kerajaan supaya menyambung semula kontrak mereka antara dua hingga tiga tahun kerana kebanyakan mereka telah berkhidmat antara lima hingga 15 tahun.

"Malah, kebanyakan daripada mereka adalah lepasan universiti yang menyandang gred 41 iaitu daripada kumpulan pengurusan dan profesional," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa jabatan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan staf kontrak daripada Kementerian Sumber Manusia disambung semula kontrak perkhidmatan mereka.

"Saya bimbang jika kontrak mereka tidak disambung akan menimbulkan konflik dan pastinya membebankan kehidupan mereka terutama yang telah berkeluarga," ujarnya. - Utusan

2 ulasan:

2bz4money berkata...

Penekanan skrg kpd right-sizing bagi mengurangkan saiz PA..JPA perlu laksanakan strategi yg betul dan elakkan tekanan.

Tanpa Nama berkata...

"Jangan biarkan JPA dikuasai oleh parti politik (JAHAT) sehingga menggadaikan maruah anak bangsa".