SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

07 Oktober 2011

KAWAL KENAIKAN HARGA BARANG EKORAN BONUS, KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM - NGO

Bernama
7/10/2011


KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan diminta mengambil langkah mengawal peningkatan harga barang yang mungkin berlaku susulan pengumuman kenaikan gaji dan pemberian bonus kepada penjawat awam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Lok Yim Pheng berkata jika perkara itu tidak dikawal, matlamat kerajaan untuk mengurangkan beban yang ditanggung penjawat awam tidak tercapai.

"Dengan kenaikan gaji ini, saya amat berharap kerajaan memberi penekanan kepada pengawalan harga barang keperluan harian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji tahunan penjawat awam antara RM80 hingga RM320 mengikut gred bermula tahun depan.

Lok turut menyambut baik bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa.

"Ini memberi peluang kepada penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan di samping mengekalkan prestasi kerja mereka," katanya.

Mulai 2012, kerajaan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang pengajian peringkat ijazah sarjana dan 500 doktor falsafah (PhD) kepada penjawat awam yang layak termasuk guru dengan peruntukan RM120 juta.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi.

Najib berkata SBPA memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja.

Sementara itu, Lok yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan meminta kerajaan menimbang pemansuhan kutipan yuran persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Saya cadangkan agar kerajaan memansuhkan kutipan yuran PIBG kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000. Ini dapat mengurangkan beban keluarga yang masih dalam kategori pendapatan rendah," katanya.

Pada masa yang sama beliau gembira kerana Perdana Menteri memberi perhatian kepada profesion perguruan apabila memendekkan tempoh kenaikan gred.

Berdasarkan skim baru mengikut 'time-based', seseorang guru akan dinaikkan gred DG44 pada tahun ke lapan dan gred 48 pada tahun ke-16 selain guru bukan siswazah gred 29 kepada gred 32 dalam masa lapan tahun sahaja.

Di bawah SBPA juga, kenaikan gred 32 ke 34 turut mengguna pakai kaedah 'time-based' lapan tahun, berbanding bergantung kepada kekosongan yang diamalkan sekarang.

Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula berkata sudah sampai masanya guru mendapat kenaikan pangkat mengikut kaedah 'time-based' berikutan bilangan guru yang besar iaitu mencecah 400,000 orang.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata jika dibandingkan dengan skim perkhidmatan lain, bilangan guru di negara ini adalah ramai menyebabkan peluang kenaikan pangkat terhad.

"Jika dahulu kenaikan pangkat adalah berdasarkan jawatan, jadi peluang untuk mengisi tempat itu terhad. Bilangan orang ramai tetapi tempat sedikit.

"Dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, (guru) boleh dinaikkan pangkat," katanya kepada Bernama di sini.

Langkah itu juga membolehkan guru yang dinaikkan pangkat kekal berkhidmat di sekolah, berbanding sebelum ini ditukarkan ke Kementerian Pelajaran, katanya yang menyifatkan langkah tersebut baik untuk menjaga profesionalisme guru.

Di KUCHING, Kesatuan Guru Sarawak (STU) menganggap Belanjawan 2012 sebagai belanjawan prorakyat terutama sekali membabitkan sektor pendidikan.

Presiden STU William Ghani Bina berkata penghapusan bayaran tambahan bagi sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, akan mengurangkan beban kewangan ibu bapa sekali gus memastikan semua kanak-kanak di negara ini terutama di kawasan pedalaman mendapat akses pendidikan.

"Ini akan membawa impak positif kepada sektor pendidikan terutama sekali peluang pendidikan yang kini akan dinikmati semua," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kenaikan pangkat guru berdasarkan 'time-based' juga boleh menjadikan sektor pendidikan lebih berkualiti dan berdaya saing.

-- BERNAMA

11 ulasan:

mus berkata...

mcm mana kenaikan gaji nie??guru saja mcm mana dgn penjawat awam yg lain?elaun sara hidup dgn elaun rumah tak naik..gaji naik mcm mana?

Graduan Master berkata...

Mulai 2012, kerajaan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan menawarkan 5,000 peluang pengajian peringkat ijazah sarjana dan 500 doktor falsafah (PhD) kepada penjawat awam yang layak termasuk guru"- Susah-susah buat master n PHD, tp (TIDAK ADA kenaikan GRED. Daripada pening kepala nk belajar. Baik keje mcm biasa. GRED 41 yg ada master n PHD tidak dihargai kerajaan.

Tanpa Nama berkata...

knape stiap kali bajet kerajaan lebih hargai guru je??kami PA yg lain mcm dianaktiri je..guru2 8 tahun naik pangkat..kami lak 15 tahun..knape mcm ni??lps tu guru sambung je pjj,comfirm2 lps hbs bljr trus naik gred..kami lak letih2 wat pjj,x tau mana lg dpt ke x naik pangkat..fikir2 kn la..

Tanpa Nama berkata...

aku baru jea ngeteh bersama keluatga, peniaga tue kata barang semuanya mahal, ayam,ikan,daging mahal, dia tak tau nak cas berapa kalau barang tu semuanya mahal, last-last tutup kedai jawabnya.. aku terfikir juga sape nak kawal harga brg, staf hal-ehwal pengguna tido, kastam lagi hancus..!! last-last rakyat juga jadi mangsa.. ape da..!!

Tanpa Nama berkata...

betullah..asik2 guru je dpt kelebihan mentang2 la ramai...400,000 orang katanya. Abis PA yg lain macam mana? Nak kena jadikan seramai 400k gak ke baru senang naik pangkat? Yg smbg degree , master...last2 jawatan sama gak!! Guru terus dpt naik pangkat...

Tanpa Nama berkata...

Kawal harga ... ari tu dah naik pun. Boleh kawal yang ada subsidi ajer. Yang lain, ada yang kena lihat masalah bencana alam, maka barangan tu naik lah. Sekarang ni kalau gi pasar bawa RM50.00, hanya dapat beli bahan untuk cukup 2 atau tiga hari mengikut saiz keluarga. Maknanya sebulan belanja pasar basah sahaja RM500.00. Belanja pasar kering (lada, bawang, gula dll) RM500.00 juga. Jumlah RM1,000.00. Bagimana dengan ansuran kereta, motor, minyak kenderaan, keperluan harian lain, bil letrik, air, telefon tetap, telefon bimbit, saraan anak di sekolah dan IPTA. Kalau gaji setakat RM4,000.00 kerja seorg dalam keluarga ... cukup sajalah. Bermunajatlah kepada ALLAH supaya kerja yang kita buat tu berkat dunia dan akhirat. Hidup kita hanyalah untuk menuju kebahagiaan akhirat. Fikir, fikirkanlah ....

Tanpa Nama berkata...

minta kerajaan kaji juga time based untuk gred lain, cth P&P, <15th pn x naik....ikut kekosongan...tp tak ada..minta cuepacs suarakan perkara nie kepada PM.

Tanpa Nama berkata...

Tajuk besar bkn men lagi, kenaikan gaji penjawat awam walhal kenaikan tahunan je...bp sgt je dpt...xkn gred 17 dpt smpi 300 kot...yg dpt mcm 2 gred2 atas je chot..renung2knlah...Orang kg dok tgk paper,tv..Owh,org gomen naek gaji...walhal...?urm..da la inflasi melampau2...nk beli pe pown xblh...Gaji ngam2 utk byr umah,minyak keta dll...keja la smpi lebam...

Tanpa Nama berkata...

Kami dh hidup lbih 40 tahun, tiap kali ade pengumuman naik gaji @ bonus, penuh surat khabar, konon kementerian pantau harga barang, hingga ke saat ini, semua barang naik harga setiap kali kami naik gaji yg tak seberapa. kalu makanan pulak, mmg tak dinaikkan harga, tapi kuantiti dan saiz dikurangkan. Terpantaukah perkara2 begini wahai persatuan pengguna/

kami yg lalui semua tu, bukan menteri, bukan timbalan menteri bukan juga perdana menteri...

Tanpa Nama berkata...

Guru2 di berikan peluang untuk menyambung pengajian pjj kerana itu adalah merupakan satu tuntutan dalam meningkatkan kualiti kerjaya mereka wahai saudara PA. Di negara barat, majoriti guru2 mereka mempunyai master dan phd, lihatlah kualiti pelajar yg mereka hasilkan. pelajar disana begitu kuat daya saing mereka. Disini? kebanyakannya masih di takuk lama. Hari2 cikgu kena 'suap' mereka (spoon feed). Maka kerajaan menggalakkan guru melanjutkan pelajaran,dengan harapan suatu hari nanti para guru di Malaysia turut mampu melahirkan modal insan yg bertaraf dunia dan mampu bersaing di peringkat global. kesimpulannya saudara PA, guru2 menyambung belajar bukan atas matlamat untuk kenaikan pangkat atau gaji semata-mata. ia juga bertujuan untuk memberikan pendidikan yg lebih berkualiti untuk anak-anak Malaysia termasuklah anak-anak saudara PA sekelian.

Tanpa Nama berkata...

Tanpa Nama berkata...

Guru2 di berikan peluang untuk menyambung pengajian pjj kerana itu adalah merupakan satu tuntutan dalam meningkatkan kualiti kerjaya mereka wahai saudara PA. Di negara barat, majoriti guru2 mereka mempunyai master dan phd, lihatlah kualiti pelajar yg mereka hasilkan. pelajar disana begitu kuat daya saing mereka. Disini? kebanyakannya masih di takuk lama. Hari2 cikgu kena 'suap' mereka (spoon feed). Maka kerajaan menggalakkan guru melanjutkan pelajaran,dengan harapan suatu hari nanti para guru di Malaysia turut mampu melahirkan modal insan yg bertaraf dunia dan mampu bersaing di peringkat global. kesimpulannya saudara PA, guru2 menyambung belajar bukan atas matlamat untuk kenaikan pangkat atau gaji semata-mata. ia juga bertujuan untuk memberikan pendidikan yg lebih berkualiti untuk anak-anak Malaysia termasuklah anak-anak saudara PA sekelian.

Rabu, Oktober 12, 2011 6:08:00 PM

-----------------------------------

eh eleh.. kalau setakat pjj OUM tu apalah yg nak dihairankan sangat.. lepasan PMR pun dapat mohon...