SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

07 Oktober 2011

CUEPACS WAJAR PERJUANG KENAIKAN GAJI, BUKAN BONUS

Utusan Malaysia
7/10/2011



SEMUA rakyat Malaysia ternanti-nanti pembentangan Belanjawan 2012 yang dijangka dibentangkan petang ini. Mungkin ada sesuatu yang menarik untuk kita kecapi hasil daripada pembentangan tersebut.

Sebagai kakitangan awam, saya amat tertunggu-tunggu jika belanjawan kali ini akan memberi manfaat untuk semua kakitangan awam. Terbaru Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melalui Presidennya, Datuk Omar Osman, mengemukakan tuntutan untuk dipertimbangkan dalam belanjawan 2012.

Antaranya beliau mengharapkan pemberian dua bulan bonus kepada kakitangan awam, semakan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM), melanjutkan umur bersara dan pelbagai insentif lain.

Di sini ingin saya sebutkan sedikit mengenai pemberian bonus dua bulan. Jika benar CUEPACS menitikberatkan kemampuan kuasa beli kakitangan awam hari ini yang sangat rendah, mengapa dituntut pemberian bonus? Kenapa tidak dituntut kenaikan gaji atau pelarasan gaji?

Kenaikan gaji lebih membantu jika dibandingkan dengan bonus. Bonus tidak mungkin dapat diterima setiap tahun, tetapi kenaikan gaji walaupun sedikit dapat diterima setiap bulan dan setiap tahun.

Saya benar-benar keliru mengapa sering sangat menuntut bonus, tetapi jarang sekali menuntut kenaikan gaji. Tidakkah CUEPACS tahu pemberian bonus sama ada sebulan, dua bulan atau tiga bulan hanya menguntungkan mereka yang bergaji besar sahaja. Ia tidak sangat dirasai oleh mereka yang masih bergaji RM600.00.

Oleh itu, jika benar CUEPACS ingin menjadi jaguh kepada nasib anggota awam, tuntutlah kenaikan gaji atau pelarasan gaji. Kenaikan ini mampu meningkatkan sedikit kuasa beli rakyat (kakitangan awam) setiap masa, bukannya bermusim seperti bonus.

Justeru, CUEPACS patut lebih relevan dalam setiap tuntutannya agar kakitangan awam benar-benar dapat merasai nikmat di atas usaha yang CUEPACS lakukan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cuepacs wajar memohon kerajaan agar skim naik pangkat secara time base kakitangan awam yang lain di pendekkan juga sepertiman yang dinikmati oleh guru agar semua berpeluang naik pangkat

Tanpa Nama berkata...

Saya sangat setuju jika cuepacs memohon pelarasan kenaikan gaji yang sama rata dan memohon elaun perumahan juga dinaikkan memandangkan sewa bilik/rumah sgt tinggi dan amat membebankan kepada penjawat awam yang tidak dapat tinggal di rumah kerajaan~berdasarkan pengalaman