SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Oktober 2009

BAJET 2010 MENJUARAI NASIB RAKYAT MARHAEN

Berita Harian
Oleh Md Shukri Shuib
27/10/2009





BAJET 2010 yang dibentang Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober dengan tema ‘1Malaysia, Kemakmuran Bersama’ bermatlamat memperluas rangsangan ekonomi berasaskan gagasan 1Malaysia. Gagasan ekonomi 1Malaysia ialah mekanisme penting dalam mencorakkan persekitaran sosioekonomi negara yang seimbang dan paling utama ialah membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan dan keupayaan ekonomi mengikut kaum dan geografi. Sudah tentulah konsep ini adalah bersamaan dengan teras Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirangka Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Skop kepemimpinan ekonomi Najib kini dilihat lebih menumpukan kepada mendapatkan keyakinan semula masyarakat terhadap kerajaan dengan memastikan elemen kemakmuran negara dikecapi bukan oleh sebahagian elit ekonomi, bahkan dinikmati secara optimum oleh segenap lapisan masyarakat. Pendekatan Najib dalam perspektif pembangunan dapat dilihat menerusi cetusan Bajet 2010 dan agendanya tidak terpencil daripada gagasan Tun Razak dan legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pengalaman Najib lebih tiga dekad dalam pentadbiran negara, termasuk melaksana agenda pembangunan, membolehkan doktrin ekonomi Razak dan Dr Mahathir jelas terpahat dalam perekonomian era semasa.
Merakyatkan 1Malaysia melalui Bajet 2010 dilihat sebagai satu mekanisme penting. Apatah lagi ini bajet pertama negara dibentangkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menunjukkan Bajet 2010 meneruskan agenda Bajet 2009 yang menjadikan rakyat punca kekuatan dan elemen tumpuan kepada pelebarluasan nikmat ekonomi. Beberapa langkah strategik dijana kerajaan dalam dunia semasa yang masih terkesan dengan badai krisis ekonomi global. Pertamanya, kerajaan telah berusaha gigih merangsang persekitaran ekonomi supaya progresif dan berteraskan daya upaya tempatan termasuk merangsang kemasukan pelaburan langsung asing (FDI). Keduanya, kerajaan komited dalam memastikan keselesaan kakitangan kerajaan dan juga rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Elemen ketiga menerusi Bajet 2010 memaparkan Malaysia cuba memperkasakan arah aliran segmen pendapatan negara yang lebih luas dan berdaya keuntungan. Paling utama, tumpuan ‘politik’ seluruh rakyat terhadap Bajet 2010 terjawab, dengan fokus mendapatkan semula sokongan masyarakat kepada kerajaan pimpinan Najib telah mampu ‘menjuarai’ kebajikan rakyat. Petunjuk positif kepemimpinan ekonomi Najib tidak harus dinafikan. Ia jelas dapat dilihat menerusi peningkatan harga saham di Bursa Malaysia terutama pasca Bajet 2010 dibentangkan. Kerancakan membina hubungan positif antara rakyat dan kerajaan masa kini menerusi pelaksanaan beberapa insentif dilihat membuka lembaran ‘popular’ kepemimpinan Najib.
Strategi penggunaan pada peringkat domestik sebagai sebahagian usaha merancakkan ekonomi negara dilihat akan menjadi teras Bajet 2010, apatah lagi dengan 25 juta penduduk, maka kitaran wang dalam pasaran tempatan pastinya membantu menghidupkan persekitaran perniagaan progresif. Justeru, dalam konteks merangsang pertumbuhan berteraskan dalam negara, permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memutuskan untuk menuntut dua bulan bonus mewakili 1.2 juta penjawat awam dilihat mempunyai kewajaran yang signifikan bagi dipertimbangkan kerajaan. Jika tidak disediakan bonus untuk dua bulan sekali pun, pertimbangan khusus bagi menyediakan peruntukan ‘dana rangsangan’ berbentuk tunai yang difikirkan mampu oleh Perbendaharaan adalah dikira sudah cukup bermakna. Secara politik dan ekonominya, kerajaan harus sedar bahawa kakitangan kerajaan di segenap lapisan sektor pekerjaan yang berada di segenap pelosok negara mampu menjadi ‘ejen pertumbuhan ekonomi’ yang signifikan. Penjawat awam dan juga pesara kerajaan mampu menjadi satu mekanisme perangsang ekonomi, iaitu dengan kaedah ‘menebarkan dana awam’ ke pasaran semasa melalui 1.2 juta pekerja ini, maka ia akan meningkatkan keupayaan tunai di pasaran dan sekali gus merancakkan proses jual beli. Inilah kuasa ‘bonus’, ‘ganjaran tunai’ serta kuasa beli kerajaan yang mewakili 4.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Jika 4.5 peratus penduduk ini dibekalkan kecukupan perbelanjaan serta juga mampu membeli barangan secara berterusan, ia akan memangkinkan ekonomi untuk berkembang adalah signifikan. Hipotesis bahawa kakitangan kerajaan adalah ejen penyampai dana awam ke pasaran perlu jelas difahami kerajaan. Untuk itulah ketika gawat dan krisis ekonomi, Malaysia tidak putus menggunakan dana awam untuk disalurkan secara terus kepada kakitangan awam untuk dibelanjakan atas sebab dan fungsi bahawa mereka mampu menjadi ejen ekonomi yang cekap.
Pernyataan Cuepacs yang menggambarkan banyak laporan dan aduan ketidakpuasan hati selepas kerajaan mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 hanya untuk penjawat sokongan saja dan bukan semua wajar dijadikan sandaran oleh kerajaan dalam melebarluaskan tanggapan positif kakitangan awam terhadap kepemimpinan negara masa kini. Kini sekali lagi penjawat awam dihampakan dengan tiadanya pemberian ‘bonus’ yang dinantikan. Benar, kerajaan telah berbelanja banyak demi pembangunan dan bantuan ke pelbagai sektor kehidupan dan ekonomi rakyat. Tetapi, yang perlu difahami ialah tanpa kakitangan kerajaan, maka usaha murni kerajaan dalam menaburkan jasa bakti melalui perkhidmatan cemerlang kepada rakyat tidak akan kesampaian. Jika 1.2 juta kakitangan awam dengan luhur menyokong kerajaan yang mentadbir negara masa kini, dan pada masa sama mereka mendorong pula keluarga, saudara mara serta sahabat mereka, maka pastinya rangsangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan akan juga turut menggandakan bukan saja kemakmuran ekonomi, malahan ia akan menggandakan imej positif kerajaan. Keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan struktur ekonomi berteraskan rakyat yang mampu diterjemahkan dalam konteks Bajet 2010 yang mana dinantikan adalah ‘ekonomi berjiwa rakyat’, dan jika ini dapat dijana, maka pastinya bajet sulung Najib dapat membina kestabilan hubungan antara rakyat dan kerajaan. Ia juga turut merangsang kemakmuran bukan saja bersifat ekonomi, tetapi menerusi usaha sama rakyat dan kerajaan sekali gus mampu membina 1Malaysia yang berteraskan prinsip ‘pencapaian diutamakan’. Bajet 2010 akan menjadi pentas penilaian terhadap Najib sama ada beliau peka dan mampu menjadi ‘pemimpin’ dalam konteks ‘ekonomi berjiwa rakyat’.

Tiada ulasan: