SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

27 Oktober 2009

WUJUDKAN SKIM PERKHIDMATAN UNIVERSITI

Utusan Malaysia
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my




KUALA LUMPUR 26 Okt. – Kakitangan institut pengajian tinggi awam (IPTA) menggesa kerajaan supaya mewujudkan Skim Perkhidmatan Universiti yang berbeza daripada kakitangan kementerian dan agensi lain.
Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/IPTA Malaysia (Gakum), Omar Osman berkata, skim baru itu perlu memandangkan tanggungjawab golongan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Katanya, berbeza dengan dahulu, negara kini menyaksikan pertumbuhan pesat IPTA dengan kewujudan 20 universiti serta politeknik dan kolej universiti.
‘‘Satu skim baru perlu memandangkan kakitangan awam di IPTA terikat dengan skim perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
‘‘Hakikatnya, bebanan tugas mereka kini bertambah contohnya dengan kemasukan begitu ramai pelajar asing sejak beberapa tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berucap pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Kepimpinan anjuran Gakum bermula Ahad lalu sehingga esok.
Hadir sama pengerusi persidangan itu merangkap Setiausaha Gakum, Ku Azmi Ku Ibrahim.
Omar yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjelaskan, kewujudan skim baru itu bakal memberi manfaat kepada lebih 80,000 kakitangan awam IPTA di seluruh negara yang terdiri daripada kakitangan pengurusan, akademik dan sokongan.
Katanya, skim baru itu harus memudahkan kenaikan pangkat seseorang kakitangan sokongan kerana beberapa universiti menyaksikan petugas bahagian perkeranian kekal di jawatan sama untuk tempoh 30 tahun.
Sesetengah universiti pula menurutnya, menyaksikan kenaikan pangkat seseorang kerani itu dalam tempoh tidak sampai lima tahun.
‘‘Jika ini terus berlaku, kakitangan universiti yang ketinggalan tidak akan bersemangat untuk bekerja dan ia menjejaskan pembangunan modal insan di IPTA terlibat,” ujarnya.
Katanya, melalui skim baru itu juga kerajaan perlu menyediakan insentif seperti tanggungan mengerjakan umrah bagi petugas sokongan yang mendapat anugerah cemerlang untuk tiga tahun berturut-turut dan melawat ke negara luar bagi yang bukan beragama Islam.
Pada masa ini katanya, IPTA di seluruh negara mempunyai kuasa melantik kakitangan mereka tetapi skim perjawatan dan kenaikan pangkat serta gaji masih terikat dengan sistem JPA.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SPU ni memang patut diwujudkan, semoga berjaya!

Tanpa Nama berkata...

kalau nak wujud SPU ok, tapi skim pencen tu jangan la diubah pula

Tanpa Nama berkata...

Betul tu org keje gomen ni pasal ada pencen !

Tanpa Nama berkata...

memang patut pun SPU ni dibuat jgn lupa pikirkan soal kebajikan skim "S" yang tidak dipandang pun di IPT. Tambahan pula Skim untuk Orang2 Agama di IPT mcm melukut di tepi gantang...bila orang nak mati baru panggil kita baca Yassin...Kadang2 bila nak pencen baru panggil buat kenduri masa keje pangkat tinggi melangit tak ingat pulak nak baca Yassin.

Tanpa Nama berkata...

Orang Akademik gaji dah tinggi melangit aper nak lagi...dah lah tu aku syorkan SPU nih untuk kakitangan non akademik sahaja, sekurang-kurangnya terbela lah nasib kerani mcm aku nih dah 20 tahun keje kat IPT tapi tak juga dapat aper-aper..VC pulak saling bertukar-tukar kereta..aku dari dulu smpai skarang masih naik proton saga buruk....

Tanpa Nama berkata...

nak tahu kenapa kau naik proton saga buruk..sebab kau malas belajar masa sekolah dulu...

dulu belajar malas..lepas tu nak gaji besar...malu lah weiiii

Tanpa Nama berkata...

harap2 SPU ini akan mencerahkan lagi masa depan kakitangan IPT, saya sokong penuh SPU bila mahu dikuatkuasakan ? cadangan saya Pendaftar di IPT bagi aje kat Skim PTD. Pendaftar yg. ada kat IPT aku tak berperanan langsung...

Tanpa Nama berkata...

aku dah berkhidmat kat IPT lebih 23 tahun. PTK aku Lulus (boleh naik pangkat) aku cuma tak puas hati kat pegawai yg. baru keje 6 ke 7 tahun dah dapat gred 48 kononnya dia aktif, walhal aktifkan periuk nasik dia aje, kami yg. dah tua selalu digula-gulakan, tapi aku sabau jer lar..pasai dia kata ; pegawai yg tua-tua nih tak terima suratan takdir, dengan kata lain kami nih menolak qadha dan qadhar Allah yang boleh membawa kepada syirik...adush pedih dan perit lar telinga aku..tapi itulah bhg. perjawatan kat IPT aku nih pun pekak dan tuli....jadik kalo SPU di wujudkan aku setuju sangat-sangat lar tengok-tengok kanlah kami nih, dan nasihatkanlah maner yang patut "green horn" tu...Yaaaa Ampuun Pak..