SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

16 Oktober 2009

KES TATATERTIB PENJAWAT AWAM MENINGKAT 36.2 PERATUS

Utusan Malaysia
16/10/2009



SEREMBAN 15 Okt. - Kes-kes tatatertib melibatkan penjawat awam atas pelbagai salah laku meningkat sebanyak 36.2 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, sejumlah 3,383 kes tatatertib direkodkan pada tahun lalu berbanding 2,159 kes pada 2007.
"Perkhidmatan awam negeri mencatatkan pertambahan paling tinggi iaitu 57.62 peratus, pihak berkuasa tempatan (PBT), 30 peratus dan perkhidmatan awam Persekutuan 27.43 peratus," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ke-4 Pengerusi-Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam Malaysia di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri.
Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd. Sidek menjelaskan, kes-kes tersebut membabit pelbagai salah laku seperti tidak hadir bertugas yang melibatkan semua kumpulan anggota awam.
Katanya, senario itu memberi gambaran bahawa tahap integriti dan disiplin penjawat awam semakin menurun.
"Peningkatan kes tersebut boleh ditangani oleh kesedaran meluas di kalangan ketua jabatan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai yang melanggar peraturan," tambahnya.

Tiada ulasan: