SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Oktober 2009

NAIK GRED KAKITANGAN HAMPIR PENCEN - CUEPACS

Utusan Malaysia
22/10/2009




KUANTAN 22 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kakitangan awam yang hampir bersara diberi peluang kenaikan gred tanpa perlu lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Presidennya, Omar Osman berkata, mereka yang merupakan kakitangan senior perlu dinilai berdasarkan prestasi dan produktiviti sepanjang perkhidmatan.
''Mereka yang nak bersara lagi tiga tahun sudah agak susah nak menghadapi peperiksaan ini, bagilah pengecualian daripada lulus PTK, cukup dengan prestasi yang baik,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Seminar Presiden-Presiden Kesatuan Gabungan CUEPACS di sebuah hotel di sini malam tadi.
Seminar tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Turut hadir, Pengerusi CUEPACS Pahang, Kamarozaman Abd. Razak.
Omar berkata, perkara tersebut telah dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan.
''Bilangan kakitangan terlibat tidak ramai dan kita berharap ia diluluskan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih bersemangat,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, Omar memberitahu, CUEPACS akan membincangkan cadangan semakan gred gaji semua kakitangan awam pada seminar kali ini.
Menurutnya, ia berikutan terdapat kira-kira 400,000 penjawat awam kebanyakannya kumpulan sokongan satu dan dua, sudah mencapai tangga gaji maksimum.
Beliau berkata, kebanyakan kakitangan awam terbabit masih mempunyai tempoh perkhidmatan yang panjang antara lima, enam dan 10 tahun lagi.
Katanya, kedudukan tangga 'gaji mati' itu sekiranya tidak ditangani akan menjejaskan perkhidmatan dan prestasi mereka yang mewakili kira-kira 45 peratus daripada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam di negara ini.
''Mesti ada satu penambahbaikan di mana tangga gaji selaras dengan peningkatan umur persaraan,'' katanya.
Menurut Omar, peserta seminar akan memperincikan kertas cadangan semakan gred gaji itu pada sesi bengkel sebelum dikemukakan kepada kerajaan.
Beliau memberitahu, berdasarkan memorandum yang diserahkan kesatuan kepada kerajaan sebelum ini, gred gaji setiap kakitangan awam perlu disemak lima tahun sekali mengambil kira kos sara hidup semasa.

Tiada ulasan: