Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa menafikan berita gembira melibatkan sembilan perkara buat 1.4 juta kakitangan awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sebagai buah tangan atau gula-gula politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sebaliknya dakwaan itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu demi kepentingan politik, sekaligus cuba meraih sokongan pengundi pada pilihan raya akan datang.

"Itu tidak benar sama sekali, ia sengaja ditimbulkan pihak tertentu.

"... Mapa adalah satu persidangan bagi penjawat awam dan menjadi amalan setiap tahun, malah memang masuk dalam jadual kita," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (Mapa) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Katanya lagi, saban tahun dalam perhimpunan yang sama, Mapa akan mengumumkan pemberian pelbagai insentif buat penjawat awam negara ini termasuk pelarasan gaji, kenaikan gaji tahunan dan elaun.

Bagaimanapun kata beliau, tuntutan yang dikemukakan Cuepacs supaya mengkaji semula beberapa elaun masih dalam peringkat kajian dan ia akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

"(Sebanyak) 87 elaun termasuk Cola dan elaun penginapan masih dalam kajian dan ia akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini, antara hujung Disember atau awal November," jelasnya.

Dalam pada itu, berita gembira Perdana Menteri yang turut menyentuh pemberian skim rumah mampu milik, beliau berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya menambah bilangan rumah di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) khas untuk penjawat awam.

"Keperluan rumah penjawat awam, mungkin adakah skim perumahan khas untuk mereka.

"... kita akan cadangkan kepada kerajaan untuk tambah rumah bawah PR1MA untuk penjawat termasuk tambah kuarters," katanya.