Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan berkuatkuasa 1 Jan 2013, kerajaan bersetuju pangkat-pangkat dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji.
  
Beliau berkata ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.
  
"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam Am," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di sini.
  
Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan 44.
  
Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.
  
"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan," katanya.

Sementara itu, Najib berkata perjuangan mulia para patriot dari pasukan, agensi dan perkhidmatan keselamatan negara telah membawa Malaysia berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti yang dinikmati ketika ini.
  
“Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara,” katanya.
  
Merujuk kepada lapan wira negara yang telah gugur di Lahad Datu dan Semporna di Sabah, Najib berkata ia adalah sebuah manifestasi terbaik iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul.
  
“Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan PDRM dan ATM.
  
“Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan anak-anak kita selamat ke sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta.  
  
“Hakikatnya mereka telah membolehkan kita terus maju dan makmur,” katanya.
  
Najib turut mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat.
  
“Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kesetaraan pangkat perkhidmatan ATM dan PDRM dengan gred perkhidmatan awam ini melibatkan 123,939 anggota ATM dan 109,209 anggota dan pegawai polis.
  
Dengan penyelarasan dalam PDRM, beliau berkata Konstabel, Lans Koperal, Koperal disetarakan kepada Gred 17, 20 dan 22 manakala Sarjan pula menjadi Gred 29.
  
Selain itu, beliau berkata Inspektor, Asisten Superintendan Polis (ASP), Superintenden Polis (Supt) disetarakan kepada Gred 41, 44 dan 46A dalam perkhidmatan awam.
  
"Bagi Asisten Komisioner Polis (ACP) berada pada Gred 52," katanya.
  
Dalam ATM, Ali berkata Prebet, Lans Koperal, Koperal kini disetarakan kepada Gred 17,  20, 22 manakala Sarjan pada Gred 29, Staf Sarjan Gred 32, Pegawai Waren II Gred 36 dan Pegawai Waren I Gred 38.
  
Di bawah kesetaraan pangkat, beliau berkata Leftenan Muda akan berada pada Gred 41 manakala Leftenan Gred 41,  Kapten Gred 44, Leftenan Kolonel Gred 48 dan Kolonel Gred 52. - Bernama