SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 November 2013

TIMBALAN PRESIDEN I CUEPACS AZIH MUDA TANDING JAWATAN PRESIDEN CUEPACS 2014/2016

Bernama
27/11/2013


KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden I Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda mengumumkan akan bertanding merebut jawatan Presiden Cuepacs 2014/2016 bagi menggantikan Datuk Omar Osman yang akan bersara tidak lama lagi.
Beliau berkata pencalonan itu telah dibentangkan kepada kongres pada 14 Nov lepas, manakala proses pemilihan akan diadakan pada persidangan Cuepacs yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Dis ini.

Katanya sekiranya dipilih menjadi presiden kelak, beliau akan memastikan kebajikan penjawat awam akan terus dipelihara.

"Saya akan meneruskan perjuangan Cuepacs yang telah dirintis oleh Datuk Omar Osman yang hari ini Cuepacs dihormati, disegani, dan digeruni," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) di sini, hari ini.

Azih, yang telah menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden I Cuepacs sejak tujuh tahun lalu turut mendapat sokongan daripada Omar.

Katanya beliau akan bersaing dengan dua lagi rakannya iaitu Presiden Kakitangan Kementerian Pertahanan (Kesatria) Ahmad Shah Mohd Zain, dan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia (MTSU), yang juga Pengerusi Cuepacs Perak Suhaimi Othman.

Dalam perkembangan lain, Azih yang juga Presiden Anulae meminta kerajaan dengan kadar segera menyemak baki 168 skim perkhidmatan awam selepas 81 skim disemak dan ditambah baik di bawah Bajet 2014.

"Penjawat awam hari ini tidak termasuk anggota polis dan tentera ialah 1.1 juta orang. Skim perkhidmatan polis dan tentera telah disemak, 81 skim telah disemak yang melibatkan kira-kira 650,000 penjawat awam...baki 700,000 ini sedang menunggu bila lagi (skim perkhidmatan mereka disemak)," katanya.

Azih berkata kerajaan perlu bertindak segera untuk menyemak skim perkhidmatan tersebut memandangkan penjawat awam berhadapan dengan kos hidup yang semakin meningkat.

-- BERNAMA