SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Februari 2010

CUEPACS TAK PERLU BIMBANG PELUANG WANITA -ROSNAH

Utusan Malaysia
22/2/2010




PUTRAJAYA 22 Feb. - Pertambahan penjawat awam wanita dalam perkhidmatan awam adalah berdasarkan kebolehan serta keupayaan wanita itu sendiri.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, justeru tidak timbul soal kebimbangan terhadap penguasaan wanita dalam sektor tersebut kerana ia tidak memberi kesan jangka panjang kepada kemajuan dan pembangunan negara.
''Puteri UMNO kesal kerana penyertaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semestinya berasaskan merit dan kelebihan yang dimiliki dilihat mempunyai implikasi jangka panjang dalam pembangunan negara.
''Ini kerana dalam banyak bidang pun wanita ternyata mempunyai kebolehan serta kelulusan akademik yang lebih baik daripada lelaki tetapi mereka tidak mendapat tempat di peringkat pembuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Rosnah berkata, kebimbangan tersebut tidak berasas dan bertentangan dengan aspirasi kesaksamaan gender yang diuar-uarkan oleh kerajaan sekali gus menafikan keupayaan dan kebolehan wanita itu sendiri.
''Ternyata kebimbangan itu tidak berasas sama sekali dan menunjukkan kecetekan fikiran pemimpin pertubuhan itu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur pandangan tidak adil terhadap wanita," katanya.
Rosnah menambah, CUEPACS sepatutnya mengkaji faktor kekurangan kaum lelaki dalam jawatan sebagai pembuat dasar terutama dari sudut jumlah penuntut wanita di institut pengajian tinggi yang sentiasa melebihi lelaki.
''Kenyataan bahawa dasar kerajaan sekarang hanya memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita juga dinilai secara tidak tepat.
''Penetapan itu hanya melibatkan jawatan tertinggi dalam pentadbiran yang sehingga kini belum tercapai dan tidak terpakai kepada taraf selainnya termasuk sebagai Pegawai Tinggi Diplomat (PTD) yang baru," katanya.
Sehubungan itu, Rosnah berkata, Pergerakan Puteri UMNO mahu Setiausaha Agung CUEPACS memikirkan semula kenyataan beliau yang ternyata tidak mengambil kira sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara semata-mata tidak boleh menerima hakikat jumlah wanita berkebolehan wanita melebihi lelaki.
''Dalam apa bidang sekali pun, penglibatan wanita adalah berasaskan merit dan ia sepatutnya seimbang dengan penyertaan kaum lelaki," katanya.

Tiada ulasan: