SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

24 Februari 2010

LELAKI KENA TERIMA CABARAN KAUM WANITA

Utusan Malaysia
24/2/2010





"TANGAN yang menghayun buaian juga mampu menggoncang dunia." Kata-kata hikmah tersebut menggambarkan kehebatan kaum wanita sama ada di rumah dan juga dunia luar.

Kini tangan-tangan yang lemah lembut itu semakin digeruni dan terbaru penguasaan mereka dalam perkhidmatan awam pula menjadi isu.

Bagi memanaskan keadaan, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin kelmarin mempertikaikan penguasaan golongan wanita dalam sektor awam yang semakin meningkat.

Sudah tentu pendapat beliau itu ditentang sekeras-kerasnya oleh kaum wanita. Ini kerana isu siapa lebih baik antara wanita dan lelaki merupakan isu yang tidak pernah selesai dibicarakan.

Para pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat ia bukan suatu yang luar biasa memandangkan trend lebih ramai golongan wanita masuk ke universiti sedang berlaku.

Perkara penguasaan wanita itu tersebut tidak harus diperbesarkan kerana pemilihan pegawai dalam sebarang jawatan adalah berdasarkan meritokrasi.

Memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia merupakan fenomena global dan seharusnya ia tidak menjadi masalah asalkan mereka berkeupayaan, berkebolehan serta berkelayakan.

Sememangnya kajian menunjukkan yang kaum wanita di seluruh dunia kini semakin menguasai kerjaya-kerjaya penting termasuk menjadi pemimpin nombor satu sesebuah negara yang dahulunya hanya dikuasai oleh golongan lelaki.

Bagaimanapun, kaum lelaki patut cemburu dengan fenomena tersebut kerana kaum wanita kini lebih rajin dan berjaya dalam pendidikan hingga menguasai bilangan di universiti.

Isu kaum wanita terpaksa mengambil cuti panjang selepas bersalin tidak patut timbul. Masalah itu seharusnya ditangani dengan bijaksana oleh mana-mana ketua jabatan seperti mewujudkan sistem penggantian sementara atau memangku jawatan.

Seseorang yang bijaksana tidak seharusnya diketepikan hanya kerana mereka terpaksa mengandung. Mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada keluarga, agama dan negara.

Kaum lelaki pula seharusnya tidak berasa bimbang dengan penguasaan wanita di tempat kerja kerana trend kaum ibu menjadi sumber pendapatan utama dalam sesebuah keluarga kini sudah semakin lumrah.

Apa salahnya jika kaum wanita sibuk dalam karier mereka untuk membangunkan sesebuah syarikat atau negara, kaum lelaki pula mungkin boleh mula beralih fokus dengan berjinak-jinak dengan ilmu pengurusan keluarga, jika terpaksa.

Pun begitu, elok diperingatkan kepada kaum wanita berkerjaya, jika mereka sudah berada di atas, jangan meninggi diri kerana Adam dan Hawa dilahirkan untuk saling lengkap melengkapi.

Wanita perlu ingat ungkapan kata-kata ini bahawa mereka dilahirkan daripada seorang lelaki. Tetapi mereka bukannya diambil daripada bahagian kepala (untuk berada lebih tinggi daripadanya) dan bukan juga daripada bahagian kaki (untuk dipijak).

Tetapi mereka dilahirkan daripada bahagian sisinya (untuk berkongsi keadilan), di bawah lengannya (untuk dilindungi) dan berhampiran jantungnya (kerana hendak disayangi).

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalu mcm tu.. PM lelaki yg ada skrg..kita pakat2 ganti dgn PM wanita...amacam stuju...??!!