SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

24 Februari 2010

PENGUASAAN WANITA DALAM PERKHIDMATAN AWAM BERASASKAN MERIT: MUHYIDDIN

Bernama
24/2/2010

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penguasaan wanita di dalam perkhidmatan awam ketika ini tidak harus dipertikaikan kerana ia adalah berdasarkan kepada keupayaan dan merit. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita hanyalah suatu "garis panduan." "Walau apa pun yang berlaku di dalam perjawatan, keputusannya adalah berdasarkan kepada merit. Jikalau wanita itu berkeupayaan dan berdasarkan pada merit, maka dia layak untuk berada di situ. Kita tidak boleh mempertikaikannya," katanya di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi Robotec oleh pelajar-pelajar sekolah di Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Seri Pekembar di Pagoh, hari ini. Muhyiddin mengakui bahawa keadaan itu turut berlaku di dalam Kementerian Pelajaran di mana bilangan guru wanita pada ketika ini adalah lebih ramai berbanding bilangan guru-guru lelaki. Menurut beliau, fenomena di mana bilangan wanita memegang jawatan tinggi lebih ramai daripada lelaki bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi turut berlaku di seluruh dunia.
"Ia adalah suatu fenomena global," katanya. Muhyiddin berkata, apa yang paling penting adalah bagaimana hendak mengurus perkara itu, sambil menyifatkan wanita adalah aset dan kelebihan kepada negara. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata arah aliran masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Contohnya, beliau berkata, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita. Ahmad Shah berhujah bahawa perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita. - Bernama

Tiada ulasan: