SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Februari 2010

PENGUASAAN WANITA SENARIO GLOBAL-TPM

Utusan Malaysia
23/2/2010



MUAR 23 Feb. - Senario penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam tidak sepatutnya dianggap sebagai satu liabiliti kepada negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya menurut beliau, keadaan itu boleh menjadi satu aset kepada negara sekiranya diurus sebaik mungkin.
Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak bimbang dengan keadaan tersebut yang disifatkannya sebagai senario global.
"Kita harus berpandangan terbuka dan tidak menganggap ia sebagai satu liabiliti. Ia mungkin satu aset dan kalau ada kekurangan, kita kena cari jalan untuk menguruskannya.
"Apa pun yang berlaku dalam perkhidmatan awam, ia dibuat atas dasar merit yang ada. Kita tak boleh mempertikaikan kerana pengambilan dan kenaikan pangkat berdasarkan merit dan kelayakan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi robotik oleh pelajar sekolah menengah Parlimen Pagoh di Dewan Seri Pekembar dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin yang meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan golongan wanita dalam sektor awam.
Ahmad Shah menyifatkan keadaan itu sebagai bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada golongan wanita.
Beliau melahirkan kebimbangan bahawa trend itu akan memberi implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar 30 peratus itu adalah sebagai panduan kepada kerajaan.
Misalnya kata Muhyiddin, di Kementerian Pelajaran yang diketuainya turut mengalami senario sama apabila lebih ramai golongan wanita menyertai profesion tersebut berbanding lelaki.
Beliau turut mengakui 'kebangkitan' golongan wanita yang kini semakin ramai memegang jawatan penting sama ada di sektor kerajaan atau swasta, namun ia tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan.
Timbalan Perdana Menteri berharap tiada pihak membuat tuduhan dan sangkaan tidak tepat mengenai perkara itu kerana golongan wanita atau lelaki mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Tiada ulasan: