SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

24 Februari 2010

TIADA DISKRIMINASI JANTINA DALAM SEKTOR AWAM

Berita Harian
24/2/2010




KANGAR: Kementerian Sumber Manusia menafikan kerajaan mengamalkan diskriminasi jantina sehingga menyebabkan sektor perkhidmatan awam kini mula dikuasai wanita, kata Menterinya, Datuk Dr S Subramaniam. Sebaliknya, beliau berkata pemilihan wanita untuk mengisi sebarang jawatan dalam kerajaan adalah berdasarkan kelayakan serta potensi dimiliki, terutama soal penilaian akademik. Subramaniam berkata, realiti kini menunjukkan wanita jauh lebih cemerlang dan berpotensi berbanding lelaki, sehingga menyebabkan mereka mempunyai kelebihan untuk dipilih mengisi sebarang jawatan dalam sektor awam.
Malah, katanya, rekod sendiri menunjukkan lebih ramai wanita mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) berbanding lelaki dan kebanyakan mereka juga mencatat keputusan yang cemerlang, baik dalam akademik atau ko-kurikulum. "Justeru, isu diskriminasi tidak timbul kerana kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih terutama memberikan kelebihan kepada mana-mana jantina untuk mengisi sebarang jawatan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan mesin jahit kepada peserta Kelas Jahitan MIC Perlis, di sini, hari ini. Semalam, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ahmad Shah Mohd Zin, menyuarakan kebimbangan mengenai penguasaan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Beliau dilaporkan berkata, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kini diisi oleh wanita yang jelas bertentangan dengan polisi kerajaan yang memperuntukkan 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita. Sementara itu, Subramanian berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencarai jalan bagi mengatasi masalah terbabit terutama berhubung kurangnya daya saing pelajar lelaki. "Kita bukan mahu mengehad atau menafikan hak serta peluang wanita untuk mendapat pekerjaan atau pelantikan ke jawatan tinggi, tetapi untuk meningkatkan keupayaan lelaki untuk sama-sama bersaing secara sihat bagi merebut peluang yang ada. "Kita yakin, jika keupayaan mereka dapat dipertingkatkan dari awal iaitu di peringkat sekolah atau IPT, penerimaan terhadap lelaki dalam sektor awam juga dapat ditingkatkan," katanya.

Tiada ulasan: