SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

23 Februari 2010

KECEKAPAN WANITA LAKSANA TUGAS JADI KRITERIA UTAMA

Utusan Malaysia
23/2/2010

PUTRAJAYA 23 Feb. - Rata-rata kakitangan kerajaan berpendapat peningkatan jumlah golongan wanita dalam sektor awam bukan menjadi satu masalah yang perlu dibimbangi.
Sebaliknya bagi mereka, kecekapan dan keupayaan menjalankan tugas adalah kriteria utama yang perlu dititik beratkan pada seseorang pekerja tanpa mengira lelaki atau perempuan.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati perkara tersebut merupakan faktor penting untuk menilai tahap prestasi seseorang pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta.
Seorang kakitangan awam, Muhaizatul Akmar, 29, berkata, hasil kerja yang diberikan oleh seseorang kakitangan awam perlu berkualiti selain dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
''Ini kerana lelaki dan perempuan, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan dan ia suatu perkara yang tidak boleh dipertikaikan.
''Apa yang penting kita perlu fokus dan komited kepada tugas yang telah diberikan dan menjalankannya dengan penuh tanggungjawab," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semalam yang melahirkan kebimbangan terhadap penguasaan golongan wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat.
Beliau dipetik sebagai berkata, trend sekarang menunjukkan lebih ramai wanita dilantik memegang jawatan membuat keputusan dan bakal mempunyai implikasi jangka panjang untuk kemajuan dan pertumbuhan negara.
Muzammil Ishak, 25, turut mengakui tentang 'kebanjiran' kakitangan wanita dalam sektor awam terutamanya di peringkat jawatan tinggi.
Katanya, keadaan itu adalah disebabkan keupayaan dan kebolehan kaum hawa untuk melepasi sistem merit bagi jawatan tersebut berbanding kaum lelaki.
''Keadaan itu sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan kepada jumlah kakitangan awam.
''Justeru, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan berlaku nisbah perbezaan yang serius antara lelaki dan wanita pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Dzulkifli Junid, 33, pula berkata, jumlah kakitangan awam di kalangan wanita lebih ramai terutama bagi jawatan profesional disebabkan pencapaian akademik mereka.
Katanya, keadaan tersebut sedikit sebanyak memberikan kesan kepada persekitaran perkhidmatan awam khususnya kerana wanita yang mendominasi kepimpinan peringkat tertinggi dan bukannya lelaki.
''Tetapi kita tidak boleh menyalahkan wanita kerana jumlah mereka juga yang paling banyak menguasai penempatan di institusi pengajian tinggi di seluruh negara berbanding lelaki," katanya.
Norhayati Ahmad, 35, pula berkata, keadaan sektor awam sekarang ternyata berbeza apabila kaum wanita sudah berupaya melakukan pelbagai tugas yang dahulunya dikuasai oleh kaum lelaki sahaja.
''Tempat saya bekerja sekarang pun dipenuhi wanita dan kami menjalankan tugas pentadbiran.
''Kami sebagai kakitangan awam wanita juga akan melakukan tugas di luar pejabat apabila diperlukan disebabkan tiada pekerja lelaki," katanya.

Tiada ulasan: