SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

28 Februari 2010

KETIDAKSEIMBANGAN BOLEH PINCANG PERKHIDMATAN AWAM

Berita Harian
Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my
28/2/2010

APABILA Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain menyatakan kebimbangannya mengenai dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, yang jauh lebih tinggi daripada nisbah wanita di negara kita, ramai yang marah. Beliau berkata, hampir tiga perempat jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dipenuhi oleh wanita. Pegawai PTD selalunya mempunyai peluang yang baik untuk menjawat jawatan penting di dalam kerajaan, oleh itu, dasar kerajaan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan penting kerajaan akan mudah tercapai. Kini lebih ramai ketua pengarah dan ketua setiausaha wanita dalam perkhidmatan awam. Mungkinkah kenyataan Ahmad Shah adalah luahan kebimbangan kaum lelaki atas asakan wanita ke dalam kelab eksklusif mereka?
Kenyataan seperti ini selalunya mendatangkan masalah – selalunya ia dikategorikan sebagai seksis dan kolot. Saya rasa sudah tentu pegawai kesatuan sekerja itu mendapat reaksi yang lebih daripada itu hasil kenyataannya. Baru-baru ini, beliau dilaporkan menjelaskan kenyataannya dengan berkata dia tidak ada masalah dengan wanita dalam perkhidmatan awam, cuma untuk jangka masa panjang, dominasi wanita tidak baik untuk negara. Katanya, cara wanita bekerja serta sifat semula jadi wanita, termasuk perlukan cuti bersalin, adalah antara sebab. Saya tidak tahu sama ada kenyataan itu membantunya, atau menambah masalah. Saya tidak tahu sama ada dia seorang yang berani ataupun tidak tahu menahu kesannya apabila berkata demikian. Namun kenyataan sudah keluar, rasanya elok kita bincangkan.
Dia juga mencadangkan satu dasar untuk mendapatkan lebih banyak lelaki dalam perkhidmatan awam yang bukan saja berlandaskan kejayaan akademik, yang mana perempuan lebih menyerlah. Boleh juga kita tanya beliau kenapa tiada masalah apabila lelaki dominan dalam perkhidmatan awam? Kenapa kita tidak perlu bimbang perangai pegawai atasan lelaki seperti gemar bermain golf akan mempengaruhi perkhidmatan awam? Lebih ramai wanita memohon untuk menyertai perkhidmatan awam boleh dikaitkan dengan lebih ramai wanita di institusi pengajian tinggi, di mana hampir dua pertiga pelajar di institusi pengajian tinggi awam adalah wanita. Maka adakah kita perlu juga menyelesaikan 'masalah' ini? Adakah anak lelaki kita kurang minat bersekolah atau sekolah tidak memenuhi cita rasa mereka? Salah satu kejayaan negara kita ialah bagaimana kita mampu menaikkan martabat kaum wanita bukan saja di dalam masyarakat, malah juga di tempat kerja. Wanita kini mempunyai peluang pekerjaan yang sama, serta gaji dan kedudukan sama rata.
Saya pernah diberitahu oleh seorang jurutera Jabatan Kerja Raya mengenai kemasukan jurutera wanita mampu memperbaiki perkhidmatan mereka. Beliau menceritakan bagaimana tandas wanita, contohnya sebelum itu kurang memenuhi keperluan wanita kerana jurutera lelaki tidak faham kehendak dan keperluan wanita, contohnya berbanding lelaki, mereka perlu lebih masa di bilik air. Pencapaian besar wanita juga oleh kerana sikap praktikal masyarakat kita. Kini kurang didengar orang tidak mementingkan pelajaran anak perempuan mereka atau pun menyatakan dengan terbuka tempat wanita adalah di dapur. Semua yang mampu akan menentukan anak perempuan mereka mampu belajar setinggi upayanya. Kita tahu di sekolah kini lebih ramai guru wanita daripada lelaki. Ini mungkin memberi kesan kerana anak kita juga perlukan kepemimpinan lelaki di sekolah dan bukannya kerana guru lelaki lebih baik daripada guru wanita. Antara kesan, sebagai contoh, tiada guru lelaki membimbing pasukan bola sepak. Tetapi ada penyelesaiannya. Ada sekolah menggaji jurulatih luar atau ada bapa menawarkan perkhidmatan melatih pasukan. Jelas kita mampu mencari penyelesaian jika dikatakan ramai wanita ambil cuti bersalin akan menjejaskan perkhidmatan. Masalah itu bolehlah diatasi kerana bukan sekarang baru wanita mengandung dan melahirkan anak. Kita kini ada Gabenor Bank Negara, ketua penguat kuasa industri sekuriti, ketua polis negeri dan hakim-hakim yang menjadi bukti jelas kemajuan yang dicapai di negara kita pada masa yang singkat. Ini adalah sesuatu yang perlu dirai dan bukan untuk dibimbangkan. Juga kebanyakan wanita yang bekerja sudah menjadi macam 'superwoman' yang boleh menjadi ketua di tempat kerja, menjadi ibu dan isteri di rumah. Tetapi kita mesti jujur di dalam polemik kita. Memanglah kita patut menolak kenyataan yang mengatakan wanita boleh merendahkan mutu perkhidmatan ataupun pegawai atasan wanita kurang upaya daripada lelaki, ini semuanya tidak boleh diterima. Namun, kita perlu terima hakikat apa-apa yang tidak ada keseimbangan adalah tidak baik dan perlu diimbangi. Dalam hal ini, Cuepacs juga perlu, sebagai contoh, menimbulkan ketidakseimbangan pecahan kaum dalam perkhidmatan awam. Kurang sangat orang bukan Melayu yang berkhidmat dan ini sudah tentunya menjejas keupayaan perkhidmatan awam jika hanya segelintir saja daripada bukan Melayu, manakala mereka hampir 40 peratus rakyat negara kita. Mungkin ego lelaki terguris apabila wanita memimpin di tempat kerja dan mesti juga ada yang berasa seperti melawan lumrah dunia atau agama untuk dipimpin wanita. Rasanya kita perlu ingat di dalam polemik wanita ramai dalam perkhidmatan awam, bukan orang lelaki diketepikan. Mereka yang layak sama ada lelaki atau wanita akan terpilih. Ada yang berkata, banyak tidak mahu wanita memimpin kerana mereka selalunya lebih tegas. Ada juga berkata, wanita susah dirasuah, walaupun ini tidak semestinya betul. Tetapi jika betul adakah tidak rugi bagi kita. Namun kita mesti lihat kenyataan Ahmad Shah secara objektif. Walaupun banyak tidak setuju kita mesti boleh berbincang dan cuba untuk memahami kenapa dia mengeluarkan kenyataan itu. Jangan kita terlalu cepat mengutuknya kerana itu adalah satu tindakan yang teramat mudah. Saya berharap apabila dia menyatakan masalah dominasi wanita dalam perkhidmatan awam, dia tidak merujuk kepada keupayaan atau kebolehan wanita. Saya percaya beliau mahukan keseimbangan kerana jika ada ketidakseimbangan sesuatu mesin tidak boleh berfungsi baik. Begitu juga jika perkhidmatan awam yang kurang bukan Melayu, kurang orang muda, kurang pengalaman dan lain-lain.

Tiada ulasan: