SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 November 2013

TRANSKRIP WAWANCARA KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEWANGAN DALAM PROGRAM RUANG BICARA

Bernama
2/11/2013
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah telah menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV mengenai 'Bajet 2014: Kesejahteraan Rakyat', yang disiarkan Jumaat malam.
Berikut ialah transkrip wawancara berkenaan yang antara lain membincangkan Belanjawan 2014, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi.

S: Ada kenyataan yang menyatakan Bajet 2014 telah dieksploitasi oleh ahli-ahli parti politik itu sendiri, (dan) pihak-pihak lain tertentu malah ada yang menyatakan Bajet ini bersifat perkauman, hanya memberi keistimewaan kepada satu kaum dan tidak kepada kaum-kaum lain yang berada di Malaysia.

J: Bajet kali ini tidak diklasifikasikan untuk kaum tertentu dan sebagainya dari segi bantuan perumahan, BR1M, pendidikan. Tidak perlulah mempertikaikan golongan yang tidak bernasib baik dan berpendapatan rendah yang masih ketinggalan, contohnya kaum India di ladang-ladang yang prestasi murid-murid kurang memberangsangkan, kita buat program intervensi khusus. Begitu juga kaum Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi ekonomi. Langkah-langkah yang telah pun diumumkan oleh PM sedikit sebanyak memperkukuhkan kedudukan ekonomi Bumiputera. Ini tidak boleh dilihat sebagai racist kerana keseluruhan Bajet ini adalah untuk semua kaum, hanya kita sediakan langkah-langkah tertentu untuk menangani isu-isu tertentu.

S: Adakah Tan Sri bersetuju kalau dikatakan barangkali juga pihak-pihak tertentu di luar sana yang hanya melihat Bajet itu dari satu aspek yang mungkin akan memberi keuntungan kepada mereka dan sebab itulah masih ada persepsi yang bersifat negatif. Mereka mengatakan Bajet ini akan membebankan rakyat.

J: Bajet ini makin diperluaskan dari segi bantuan, yang pertama pemberian BR1M, dari RM500 kepada RM700, (yang mana) RM50 untuk i-BR1M ataupun insurans. Kalau seseorang hilang keupayaan kekal ataupun kematian, maka keluarganya akan terima RM30,000. Dalam bajet ini juga golongan yang berpendapatan RM3,000 - RM5,000 juga diberi BRIM sebanyak RM500 di mana RM450 secara tunai dan RM50 secara i-BR1M. Dan untuk individu bujang, kami tingkatkan dari RM250 kepada RM350. Dan juga untuk golongan pertengahan, dari segi perlepasan cukai RM2,000 yang kalau di kira rata-rata mereka dapat menjimatkan RM480. Jadi inilah antara perkara yang kita sediakan kepada rakyat. Dari segi perumahan, macam-macam kita ada, antaranya my HOME. Di mana harga rumah RM75,000 hanya dijual RM45,000. RM30,000 disubsidikan oleh kerajaan untuk pemaju untuk memajukan perumahan. Untuk golongan berpendapatan pertengahan, kita ada RM170,000 harga rumah, subsidi RM30,000. Patutnya harga rumah RM200,000. Kita mahu pemaju-pemaju perumahan memajukan rumah-rumah ini dikawasan permintaan tinggi, bandar dan di pinggir bandar, jadi kalau nak dikatakan Bajet ini membebankan rakyat, saya amat tidak setuju kerana banyak perkara yang kita sediakan untuk rakyat supaya mudahkan kehidupan rakyat.

S: Ada yang menyatakan apakah kehendak golongan generasi muda. The so-called Gen-Y di Malaysia ini juga sebenarnya telahpun diberikan sesuatu yang cukup istimewa dalam Bajet kali ini.

J: Ya, dalam Bajet kali ini satu perkara yang istimewa untuk golongan muda adalah tentang pembangunan usahawan. Banyak yang kita buat, antaranya 1Malaysia Entreprenuership. Kita pergi ke negeri-negeri dan beri pendedahan kepada belia terutamanya bawah umur 40 tahun. Apabila kita adakan GES (Global Economic Summit atau Sidang Kemuncak Keusahawanan Global) di KLCC baru-baru ini, yang sepatutnya Obama datang, kita dapat kumpulkan 5,000 'youngster' yang bakal jadi usahawan. AS (Amerika Syarikat) sendiri kagum betapa minatnya rakyat Malaysia untuk menjadi usahawan. Dan sering kali saya katakan dalam pelbagai forum kalau Malaysia ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, negara maju, maka kita perlu memperbanyakkan usahawan.

Kerana dengan makan gaji di kerajaan ataupun sektor swasta, kita tidak akan menjadi negara maju kerana gaji tidak akan naik. Tetapi usahawan ini terlibat dengan aktiviti nilai tambah tinggi, contohnya dalam ICT, pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan eksport barang tinggi. Mereka boleh bayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. Dengan itu negara boleh dapat taraf negara maju lebih pantas. Sebab itulah polisi kita dalam Bajet ini, kita akan melahirkan 5,000 entrepreneur dalam pelbagai bidang setiap tahun. PM juga ada umumkan MaGIC Centre yang akan kolaborasi dengan universiti, institusi luar negara untuk melahirkan usahawan-usahawan baru. Ia akan menjadi one-stop centre untuk melahirkan usahawan. Ini perkara baru selain dari latihan-latihan teknikal yang disediakan di IKBM, ILP (Institut Latihan Perindustrian) dan sebagainya. Ini untuk belia semua.

S: GST satu isu yang cukup panas sekarang ini terutamanya menjelang pilihan raya di Sungai Limau. Isu ini digunakan sebagai satu isu politik, dieksploitasikan dengan begitu rupa dan mengelirukan rakyat sebenarnya. Kesempatan ini saya ingin menggunakan ketika bersama dengan Tan Sri untuk mendapatkan gambaran yang jelas. Walaupun GST cuba diperkenalkan sejak tahun 2009, tetapi hanya 2015, Insya Allah mungkin akan dilaksanakan. Jadi penjelasan semudah-mudahnya apa GST ini sebenarnya?

J: Sebenarnya lebih daripada 160 buah negara telah melaksanakan GST. Negara yang maju, negara yang lebih mundur dari kita. Kalau benda ini tak bagus mereka pun tidak akan laksanakan. Dari segi pendapatan hasil kerajaan pun akan lebih stabil disamping memberi ketelusan dalam penggunaan cukai kepada rakyat. Sekarang ini memang kita dah bayar cukai. Ada dua cukai kita sedang bayar. Cukai jualan iaitu cukai yang dikenakan 5.0 peratus dan 10 peratus. Cukai perkhidmatan pula 6.0 peratus. Jadi kita nak mansuhkan cukai jualan dan juga cukai perkhidmatan dan diganti dengan satu cukai baru kita panggil cukai barangan dan perkhidmatan atau GST. Di setengah negara, ia dipanggil value-added tax. Jadi GST ini akan menggantikan cukai yang kita bayar sekarang SST. Contohnya air mineral. Kalau dihasilkan di kilang maka dikenakan 10 peratus di bawah cukai sedia ada iaitu SST. Sekiranya harga RM1.00, akan jadi RM1.10. Apabila di hotel dan runcit, kena 6.0 peratus lagi. Di bawah cukai GST, yang akan ganti cukai SST tadi, dia hanya perlu bayar sekali sahaja sebanyak 6.0 peratus. Jadi harga RM1.06. Berbanding dengan yang lain, 16 peratus. GST ini adalah cukai yang bergantung kepada nilai tambah tapi cukai SST adalah compounded, ataupun cukai berganda. GST adalah lebih rendah daripada SST. Saya harap perkara ini tidak teknikal, telah saya permudahkan.

S: Tapi masalah yang selalui ditimbulkan di luar sana, bila kita cakap tentang bagaimana perkara-perkara menarik dalam Bajet 2014, termasuklah GST ini, dieksploitasikan oleh pihak tertentu. Mereka menyatakan tidak cukup penerangan yang diberikan kepada rakyat, terutamanya mereka di peringkat bawahan. Pakar ekonomi barangkali boleh memberi penerangan tetapi dengan economic jargon yang terlalu besar, tidak boleh difahami oleh rakyat. Jadi apa langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa GST bukanlah satu usaha untuk menekan kehidupan mereka.

J: Kita akan memberi penerangan kerana kita ada 17 bulan untuk melaksana. Sebab itu kita ambil masa agar penerangan diberi kepada setiap individu di Malaysia termasuk perniagaan syarikat, SME dan sebagainya. Semasa penerangan ini juga, kita akan beritahu bukan semua barangan akan dikenakan cukai. Ada barangan dikecualikan, ada barangan kita kenakan zero-rated tax. Contoh barangan makanan, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, susu kanak-kanak, dan beratus barangan lain tidak dikenakan cukai. Ada juga yang dikecualikan sepenuhnya seperti pengangkutan, pendidikan, kesihatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Jadi GST ni sama juga seperti consumption tax (cukai penggunaan).

Mereka yang menggunakan lebih banyak, pergi restoran yang mahal, maka terpaksalah membayarnya. Jadi orang itulah yang akan kena bayar lebih banyak dari yang miskin. Yang miskin ni, tidak beli barang yang mewah dan macam-macam. Jadi mengelirukan rakyat, kata membebankan rakyat dan sebagainya itu tidak betul. Dan satu lagi, kerajaan telah buat satu pakej keseluruhan. Kerajaan menambah pemberian BR1M sebanyak RM300 untuk mengurangkan beban rakyat pada masa kita perkenalkan GST pada 2015. Dari segi cukai individu dikurangkan 1.0 peratus, untuk korporat dikurangkan 1 peratus pada 2016. Begitu juga diberi latihan bagaimana GST boleh dikendalikan. Pengecualian software, latihan kepada syarikat secara percuma. Kerajaan telah memperuntukkan wang yang mencukupi, jadi kita tidak terburu-buru. Perkara ini telah kita kaji lama, jadi perlaksanaan harapnya dalam 17 bulan ini dapat dijalankan sebaik-baiknya dengan penerangan secukupnya kita akan bagi.

S: Ada pendapat, golongan yang amat tidak setuju apabila GST diperkenalkan adalah golongan berada. Tetapi golongan berada ini dapat lari daripada income tax dan sebagainya. Mereka inilah yang merasakan GST itu tidak perlu diperkenalkan, komen Tan Sri?

J: Saya memang setuju. Satu lagi, mereka yang tidak membayar cukai, syarikat-syarikat yang tidak membayar cukai pada masa ini, merekalah yang membuat perkara-perkara yang tidak betul mengenai GST dan sebagainya. Sebenarnya GST akan membuat satu perkara yang baik, iaitu, mereka yang tidak bayar cukai pun akan membayar cukai. Sebab barang-barang yang mereka beli itu dikenakan cukai. Jadi untuk kebaikan mereka sendiri, mereka akan daftarkan diri mereka supaya dapat membuat tax claim untuk barang-barang input production. Banyak syarikat kecil-kecil, seperti bengkel membaiki motor contohnya yang tidak bayar cukai. Tetapi kali ini, untuk barang-barang input yang mereka beli yang dikenakan cukai, mereka harus daftar dengan kerajaan supaya boleh dapat claim tax input. Jadi keuntungan bagi syarikat-syarikat tersebut. Tapi kalau mereka tidak daftar, mereka jalan seperti biasa, keuntungan itu mereka tidak dapat claim. Maka syarikat-syarikat kecil pun akan ke hadapan untuk mendaftar sebagai pembayar cukai.

S: Menyentuh mengenai BR1M, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan menikmati pemberian ini. Kadang-kadang pemberian ini dieksploitasikan. Mereka menganggap pemberian BR1M itu seperti memberi ikan tetapi tidak memberi pancing. Sampai bila perkara ini akan dilakukan oleh kerajaan sebenarnya dan apa faedah yang boleh dinikmati oleh rakyat kalau ini berlaku?

J: Kita tengok banyak negara yang ada sistem subsidi yang bersasar. Kalau kita kurangkan subsidi, maka subsidi petrol itu boleh disalur kepada golongan berpendapatan rendah. Mereka ini yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, malah sekarang ni pun RM4,000 ke bawah pun akan dapat BR1M. Mereka telah ada pekerjaan, kita telah menyediakan banyak kemudahan dari segi latihan, perniagaan, mereka boleh pergi ke MARA dapatkan pinjaman nak mulakan perniagaan. Mereka boleh pergi institut latihan untuk dapatkan latihan, nak jadi mekanik, pembaiki wayar dan sebagainya. Jadi pancing ini telah diberi lebih awal. Yang ini adalah untuk meringankan kos sara hidup, beban mereka. Malaysia ini negara yang bertuah, kerajaan amat prihatin. Pelbagai jenis ada, nak jadi doktor boleh, akauntan boleh, cakap saja. Banyak dah sediakan kemudahan. Tanya diri sendiri, apa yang saudara ingin jadi. Kita ada PUNB, MARA, SME Bank, BSN, semuanya menyediakan pelbagai pinjaman, kemudahan latihan, macam kita suap dah. Tinggal tepuk dada, tanya selera.

S: Masih terdapat pandangan yang menyatakan tidak mustahil kadar inflasi disebabkan oleh pengenalan GST, penarikan semula subsidi gula, kenaikan harga barang dan juga perkhidmatan. Itu akan memberi satu kesan kepada kehidupan rakyat. Mungkin juga inflation rate itu akan meningkat disebabkan oleh perkara ini seperti apa yang dilakukan dan diperkenalkan di dalam bajet kali ini?

J: Kalau kita tengok inflasi Januari hingga Ogos, amat rendah 1.7 peratus. Kalau kita tengok hingga hujung tahun ini, mungkin ia naik hingga 2.0 peratus, satu keadaan inflasi yang amat rendah berbanding negara-negara jiran dan juga negara yang lain. Dan pada masa inilah amat sesuai laksanakan GST di mana keadaan inflasi rendah dan kita juga menganggarkan GST ini akan menyebabkan sedikit kenaikan dalam inflasi dan harga barang oleh kerana GST baru diperkenalkan. Ada yang belum dapat claim ataupun membuat tuntutan daripada kerajaan, maka harga dia meningkat sedikit, dan juga ada yang mengambil kesempatan yang spekulatif, jadi menyebabkan keadaan akan naik one-time spike, ataupun sekali naik. Jadi mungkin tahun perkenalan GST pada 2015, mungkin ada kenaikan 1.5 peratus inflasi tetapi kebanyakan negara mengunjurkan, kita belajar dari negara lain seperti Kanada, US dan Singapura, menunjukkan sekali naik, tetapi selepas setahun ia stabil balik dan kemudian moderate menurun.

S: GST pada kadar 6.0 peratus antara terendah di benua dan negara Asean tetapi negara seperti Singapura pendapatan mereka jauh lebih tinggi dari Malaysia. Adakah kerajaan akan pantau pendapatan negara atau nak naikkan lagi?

J: Kalau dibanding memang 6.0 peratus adalah terendah tetapi bagaimana kita menangani hal inilah kita mengurangkan cukai pendapatan 1.0 kepada mereka yang bayar cukai. Yang bayar cukai pun bergaji RM4,000 ke atas sahaja. Untuk yang RM4,000 ke bawah kita sediakan BR1M untuk mengurangkan beban mereka. Dan kita memperkenalkan BR1M 2015 untuk menangani kos kenaikan harga barang ataupun mengurangkan beban mereka, jadi banyak yang telah pun kerajaan sediakan. Dari segi kesihatan kita sediakan kesihatan percuma. Sesetengah negara ada GST, tapi mereka kena bayar untuk kesihatan, bil yang tinggi kalau tiada insurans. Di Malaysia, hampir percuma, hanya perlu bayar RM1 dan boleh dapat perkhidmatan dari Klinik 1Malaysia. Jadi kos yang kerajaan tanggung adalah amat tinggi. Dari segi pelajaran, pendidikan percuma kita bagi dan juga kita bagi RM100 untuk kanak-kanak sekolah, dan juga voucher buku untuk pelajar universiti. Jadi kalau kita menjumlahkan jumlah bantuan sesuatu keluarga terima, amat besar dari segi bantuan yang kerajaan bagi untuk mengurangkan beban kos. Implikasi 1.0 peratus ini amat kecil berbanding dengan insentif ataupun bantuan yang kerajaan telah sediakan.

S: Apakah kerajaan sendiri sudah bersedia untuk menghadapi perubahan ini, adakah kerajaan dari segi sistem penyampaian sudah bersiap sedia, tidak berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya?

A: sebab itu dalam bajet ini juga kita menekankan laporan audit yang baru-baru ini, dari segi perbelanjaan kerajaan lebih berhemah. Mereka yang tidak mengikut prosedur, peraturan, guideline akan dibawa ke muka pengadilan. SPRM juga telah mengambil tindakan. Dari segi JPA pun akan memanggil mereka yang terlibat dengan kecuaian. Ini adalah satu cara untuk menghindarkan daripada berlakunya pembaziran di peringkat kerajaan. Di samping itu, dari segi perlaksanaan, semua program, projek, langkah-langkah kerajaan dan juga percukaian dan sebagainya, kita sekarang lebih telus. Contohnya, GST kita ambil 17 bulan supaya tidak berlakunya masalah. Sebab tu 17 bulan ni kita nak pergi turun padang, jumpa rakyat, jelaskan kepada rakyat dan juga perniaga, peruncit dan sebagainya. Yang mana tiada software kita akan install. Kerajaan dulu dengan kerajaan sekarang sudah berbeza. Sekarang kita tidak takut, sesuatu yang salah di pihak kerajaan, explain, terangkan kepada kerajaan, kita perbetulkan diri kita, itu lah kerajaan sekarang.

S: Keseriusan kerajaan untuk melaksanakan GST. Ini juga satu perkara yang dimainkan di luar sana. Mereka menyatakan mungkin sekiranya menerima tekanan dari pihak tertentu, ia akan ditarik balik. Kita ingat sejarah GST itu sendiri, sejak dari tahun 2009 ingin diperkenalkan tetapi tidak dapat dilaksanakan oleh sebab tertentu. Tetapi keseriusan kerajaan hari ini, apakah Tan Sri boleh memberi jaminan bahawa kerajaan serius untuk melaksanakannya?

J: Bagi saya kerajaan amat serius kali ini untuk melaksanakan GST. Pernah saya satu ketika ditanya apakah kerajaan mempunyai pilihan, saya kata "GST is not an option, it's a must". Malah sebelum Bajet dibentang saya sudah rasa GST ini sesuatu yang perlu. Begitu juga kita nak pemerintah, kerajaan mereka juga serius bahawa GST ini amat perlu dan di luar sana para penganalisis, para agensi penarafan sedang melihat sama ada Malaysia mmpunyai political will atau pun keupayaan dan juga keseriusan melaksanakan GST. Walaupun Fitch telah mmberi negative outlook kepada kita, tetapi bila kita mengumumkan bahawa kita akan laksanakan GST, mereka masih mengekalkan negative outlook tetapi mereka sedang memerhatikan Malaysia sama ada kita serius melaksanakan GST. Kita ada 17 bulan lagi. Dalam tempoh ini, kita akan memberi penerangan secukupnya kepada rakyat dan juga kita akan melaksanakan segala perkara yang perlu dari segi perundangan, teknikal dan segi peralatan semua kita akan sediakan. Kemudian barulah kita akan laksanakan pada 1 April 2015. Dan dalam pada itu, kita telah mengadakan banyak perbincangan sebelum ini dengan para akademik, persatuan, pengeluar, semuanya memberi sokongan.

Persatuan pengguna juga memberi sokongan seperti FOMCA jadi pandangan orang ramai ini, telahpun kita ambil kira sebelum kita mengumumkan. Kita juga akan menggunakan media untuk memberi penerangan yang lebih supaya senang rakyat memahaminya kerana golongan yang tidak bertanggungjawab, mengelirukan rakyat menyatakan GST ini satu cukai tambahan kepada cukai sedia ada. Sebenarnya bukan tambahan, sebenarnya cukai yang sedia ada ini akan dihapuskan dan diganti dengan cukai yang lebih telus dan lebih rendah. Pada hakikatnya sesuatu yang rendah itu mestilah membuatkan barang itu lebih murah.

S: Nasihat dan harapan Tan Sri kepada rakyat Malaysia. Janganlah melihat bajet itu dengan berlandaskan kepada petikan daripada satu-satu perkara tetapi lihatlah bajet itu secara keseluruhannya. Macam anologi yang disebutkan oleh rakan saya dalam ruang bicara sebelum ini, jangan jadi seperti orang buta yang ingin menilai seekor gajah, pegang ekor, kecil gajah ini tetapi bila pegang kaki, besar juga gajah ini.

J: Selalunya rakyat di sana, setiap kali bajet, diperkatakan apa keuntungan yang ada. Kalau kakitangan kerajaan, berapa bulan bonus kerajaan nak bagi, kalau peniaga mereka tengok apa cukai yang kerajaan nak hapuskan, bagi suri rumah, apa yang kerajaan nak bagi pada mereka. Tapi sebagai seorang rakyat yang bertangungjawab, kita harus tengok secara keseluruhan apakah bajet itu dalam jangka masa panjang akan memberikan faedah kepada rakyat dan negara. Adakah negara kita akan terus menjadi negara berdaulat, ekonominya mapan, tidak runtuh, kedudukan kewangannya mampan. Itulah yang kita lihat. Kita tidak ingin menjadi sebuah negara yang bankrap seperti di Eropah sana dan juga negara yang terus menghadapi masalah, pengangguran, ekonomi tidak begitu kukuh dan sebagainya. Sebab itu kalau kita tengok banyak sektor baharu yang kita perkukuhkan. Salah satu contohnya sektor penerbangan. Kita sedang melihat begitu pesat perkembangan sektor penerbangan. Contohnya, MAS, dari segi demand, lebih tinggi daripada Singapore Airline dan AirAsia. Jadi kita mempunyai potensi menjadi hab di rantau ini. Dan dengan adanya KLIA2, kita mempunyai tiga landasan. Dari segi air traffic control system sudah usang, 20 tahun lebih. Kita kena menggantikan supaya pendaratan boleh cepat, tanpa kelewatan dari segi handling facility. Kalau kita tengok keadaan sekarang di lapangan terbang, keadaannya banyak kelewatan berlaku dari segi pendaratan. Jadi inilah antara perkara-perkara yang kita perlu selesaikan untuk menjadi hab penerbangan. Salah satu contoh yang lain dari segi pertanian, kita tubuh satu export council di mana barang yang petani keluarkan, tiada orang tengah dan terus di jual kepada wholesale untuk dieksport.

-- BERNAMA

8 ulasan:

cikgu selalu first ...jangan jealous berkata...

SST apa cerita?....katanya segala kajian akan diumum sebelum 31 Disember 2013....kena tunggu lagi ke?

harap ada berita baik untuk guru...tiada orang pandai jika tiada guru

Tanpa Nama berkata...

Ya betul jika tiada cikgu blog ceupacs ni pun x wujud sebab orang semua buta huruf dan buta angka. Lukis kat dinding dapatlah. Dah terang lagi bersuluh, satu hakikat yg xblh dipertikaikan termasuk org2 yg suka fitnah dan kutuk guru, tanpa guru yg perkenalkan hufuf dan nombor kpd anda sudah pasti anda akan lihat tulisan rumi ini spt anda lihat tulisan cina, india, thailand. So jgn kutuk dan irihati dgn cgu ya nanti anak2 anda cgu xnak ajar pula.

Tanpa Nama berkata...

cakap GST ganti cukai yang ada skrg 10% n 6%. Ikut logik harga barang sekarang kene dibuang cukai tu dulu n dah dapat harga sebenar baru tambah GST baru 6%. patut barang makin murah. tapi atas kertas jelh. biasa bila pelaksanaan pape dlm mesia ni xdenye jadi gitu. yang jadi harga brg sekarang nanti ditambah je GST 6%. wak gane badan enforcement xpower.

G-MAN berkata...

kalau ikut atas kertas, 6% adalah ke atas barangan yang dijual kepada pengguna akhir, iaitu kita.

pendek kata kalau rantaian dia ada:

pengimport/pengeluar -> peraih -> orang ke tiga -> peruncit -> pengguna

maknanya ada 4 rantaian sebelum dibeli oleh pengguna.

kalau ikut atas kertas, cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengomport/pengeluar saja dimana harga yang bercukai adalah harga yang dijual oleh pengimport/pengeluar kepada peraih.

cuma yang dikhuatiri setiap rantaian tersebut akan mengecaj 6% tersebut sampai ke pengguna akhir telah membayar 3x cukai sebanyak 6% tersebut.

masalah di malaysia ni, pemantauan dan penguatkuasaan adalah AMAT LEMAH sekali. lihat saja kes penyeludupan petrol/diesel. disebabkan penguatkuasaan lemah, bahan bersubsidi ini diseludup ke negara asing menyebabkan subsidi tersebut dinikmati oleh orang yang tak sepatutnya. ibarat "marahkan nyamuk, kelambu dibakar", kerajaan mengurangkan subsidi bagi "mengurangkan kadar penyeludupan". sepatutnya penguatkuasaan dan agensi berkenaan yang perlu dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan, bukannya meletakkan beban kepada orang awam.

begitu juga GST. sekiranya benar ia dilaksanakan mengikut apa yang ditulis di atas kertas, maka tidak jadi apa masalah, malah jujur aku katakan ianya akan menjadi suatu cukai perkhidmatan yang relevan dan berpatutan. sebaliknya sekiranya tiada pemantauan, setiap rantaian mengambil kesempatan mengenakan cukai, maka pengguna telah dikenakan cukai yang berganda-ganda


jadi di sini adalah PENGUATKUASAAN. nak melaksanakan sesuatu, kita mesti ada pasukan penguatkuasa yang efisyen. kalau yang ni tak efisyen, jangan harap orang awam akan "selamat" dengan cukai baru ni.

Tanpa Nama berkata...

Pendek kata dlm erti kata yg mudah difahami: GST memang baik tapi yg merisaukan ialah adakah pihak pengilang, pengimpot, pemborong, peruncit faham dan sanggup patuh dgn arahan undang2? Adakah pihak penguatkuasa kpdnkk sanggup bekrja keras untuk menguatkuasakan peraturan baru ini? Kat Malaysia semua benda (atas kertas) baik2 belaka tapi sebut bab pelaksanaan dan penguatkuasaan sangat teruk/lemah. Mereka yg diamanahkan tugas penguatkuasan dan pemantauan harus gigih menjalankan tugas mereka pd setiap hari bukan hanya turun buat siasatan apabila ada aduan dari pengguna. Nama dah pegawai penguatkuasa maka perlu menjalankan tugas pemantauan dan penguatkuasaan bukan duduk baca surat khabar, bersembang kosong, bergayut dgn smartphone dan buat kerja2 yg tak berkaitan dgn tugas. Rakyat harus salahkan mereka2 yg gagal menjalankan tugas dgn baik kerana wang rakyat dibazirkan utk membayar gaji2 pegawai yg lemah dan tak komited menjalankan tugas mereka.

Tanpa Nama berkata...

tak ramai yang komen dalam topik ni. nampak sangat penjawat awam ni tak suka membaca, tak suka dengan topik yang serius sebaliknya HANYA SUKA MERAPU DAN MEREPEK di topik yang pendek dan yang melibatkan KEUNTUNGAN untuk diri mereka sahaja.

inilah dia kualiti penjawat awam masakini.

Tanpa Nama berkata...

Dlm soal bisnes yg sentiasa mengaut keuntungan lumayan adalah pihak pemborong atau org tengah. Kesian sgt kpd pak tani, nelayan yg bertungkus lumus dan ada kala menyabung nyawa utk mendapat hasil amat sedikit kerana dimanipulasi oleh 'pengkianat2' yg dah kaya raya ni. Pernah berlaku kat kampung semasa musim buah durian, bukan main bijak lagi tipu helah halus yg org tengah ini buat utk mendpt harga yg terendah.Adakah patut mereka pula yg menentukan harga seolah2 buah durian itu mereka yg punya. Sedangkan apabila dijual di bandar harga yg mereka letak sampai lima kali ganda. Semua rakyat khususnya para petani dan nelayan harus tidak tunduk dgn pengkhianat2 ini. Boikot mereka dan cari alternatif lain yg menguntungkan mungkin melalui koperasi dll.

Tanpa Nama berkata...

diamlh...baru komen sikit..dh rs diri 2..hebat kt org lain xberilmu plk...