SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Jun 2008

CUEPACS TUNTUT COLA RM500

Petikan dari Utusan Malaysia
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR 28 Jun - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) menuntut kerajaan menaikkan kadar elaun kos sara hidup (Cola) kepada RM500 sebulan untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kawasan.
Presiden cuepacs, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan semua kakitangan awam ketika ini terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.
''Saya sedih melihat hidup kakitangan kita yang semakin terhimpit berikutan kenaikan harga minyak. Apabila minyak naik semua barang naik dan ini memberi kesan kepada kehidupan ahli-ahli kita.
''Walaupun kerajaan telah menaikkan gaji 10 bulan lalu ia tidak cukup kerana kenaikan minyak kali ini terlalu tinggi. CUEPACS meminta kerajaan menerima tuntutan ini (Cola RM500) bagi meringankan beban anggota sektor awam,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kongres CUEPACS di Ibu Pejabat CUEPACS di sini hari ini.
Tuntutan Cola RM500 untuk semua kakitangan merupakan salah satu daripada enam perkara yang diputuskan di dalam mesyuarat tersebut.
Omar memberitahu, pada masa ini semua kakitangan kerajaan menikmati imbuhan Cola antara RM100 hingga RM300 iaitu bergantung kepada lokasi bekerja.
Katanya, dalam mesyuarat itu, CUEPACS juga sebulat suara menolak pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan seperti cadangan Kabinet sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun cadangan itu dianggap baik tetapi pada hakikatnya ia tidak banyak membantu kakitangan kerajaan untuk mengurus perbelanjaan mereka.
''Katakanlah seorang kakitangan menerima gaji sebanyak RM1,100 sebulan dan selepas ditolak itu dan ini, yang tinggal hanya RM500 atau RM450,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, CUEPACS bersetuju jika kerajaan memberi gaji dua minggu sekali.
''Jika sistem ini kami setuju kerana pada akhirnya iaitu secara keseluruhannya jumlah bulan yang dibayar adalah sebanyak 13 bulan dan bukan 12 bulan,'' tambahnya.
Ujarnya, selain itu CUEPACS membantah sebarang usaha untuk memotong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian pekerja iaitu daripada 11 peratus kepada tujuh peratus.
''Cadangan ini belum dilaksanakan tetapi Ketua Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah meminta perkara ini dibahaskan oleh CUEPACS.
''Kami telah membentangkan pada ahli kongres hari ini dan keputusannya kami membantah cadangan tersebut kerana ia memberi kesan kepada jumlah simpanan ahli,'' katanya lagi.
Dalam mesyuarat itu juga katanya, CUEPACS mahu Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu.
''CUEPACS memberi amaran yang kita akan membawa perkara ini kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai amalan salah majlis perbandaran itu,
''Kita memberi masa selama dua minggu untuk Yang Dipertua MPM khususnya supaya menghentikan amalan bekerja pada hari Sabtu kerana ia bertentangan peraturan,'' tambahnya.

1 ulasan:

Chinta Chundary berkata...

500 banyak tu..membebankan kerajaan la tok