SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

27 Januari 2012

TANGGUH PENGKORPORATAN JBAP

Utusan Malaysia
29/1/2012



TEMERLOH 29 Jan. - Kerajaan negeri diminta menangguhkan pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) kerana para pegawai dan kakitangannya belum mendapat penerangan serta maklumat lengkap tentang cadangan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, seramai 1,700 pegawai dan kakitangan jabatan itu belum mendapat maklumat secara menyeluruh berkaitan perkara tersebut.

Menurutnya, mereka tidak memperoleh maklumat berkaitan terma dan syarat pengkorporatan tersebut sama ada ia menambah baik perkhidmatan mereka atau sebaliknya.

Tegasnya, CUEPACS akan bertindak mengadakan bantahan secara besar-besaran membabitkan semua warga JBAP sekiranya pengkorporatan itu diteruskan pada 1 Februari ini walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

''Saya merayu bagi pihak kakitangan JBAP supaya Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

''Pandangan mereka perlu diambil kira dan dibawa berunding sebelum pelaksanaan pengkorporatan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan pemindahan gaji skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBAP anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Raya dan Air di Bangunan Persekutuan Temerloh, di sini, hari ini.

Omar berkata, seramai 80 peratus daripada jumlah kakitangan jabatan itu di negeri ini menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaharu atas arahan ketua jabatan masing-masing.

Tambahnya, penangguhan itu wajar kerana dipercayai tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBAP.

"Pengkorporatan itu perlu dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya.

"Sepatutnya pihak terbabit terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBAP yang dilihat secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan mereka sendiri," jelasnya.

Tiada ulasan: