SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

31 Januari 2012

SBPA: CUEPACS ULANGI AMARAN 'PULAU' JIKA...

Sinar Harian
31 Januari 2012


KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mengemukakan surat kepada Mohd Sidek esok berhubung perkara itu bagi mempertimbangkan permohonan tersebut.

"Awal dulu lagi, kita sudah maklumkan bahawa kita hendakkan tiga lagi tambahan pegawai Cuepacs dalam pasukan petugas itu.

"Mungkin kalau nak permohonan, kita akan hantar surat esok, untuk menambah tiga orang lagi anggota Cuepacas sebelum 8 Feb (mesyuarat kedua pasukan petugas khas)," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi pasukan petugas itu Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa pasukan itu tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memilih tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs bagi menganggotai pasukan berkenaan.

Dipetik Bernama, kata beliau, sebaliknya hanya Mohd Sidek mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan untuk menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

Pasukan petugas khas itu kini dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan.

Cuepacs sebelum ini, menegaskan bahawa pihaknya tetap dengan pendirian tidak menyertai pasukan petugas khas itu, sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan menganggotai pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Omar berkata jika masih tiada surat jemputan diterima, beliau tetap akan menghadiri mesyuarat kedua yang dijadual pada 8 Februari, tetapi akan mengisytiharkan secara rasmi untuk menarik diri.

"Ini bukan keputusan Omar Osman tetapi menghormati keputusan kongres dan anggotanya. Cuepacs hari ini adalah harapan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara," katanya.

PAHANG TETAP KORPORATKAN JBA

Berita Harian
Oleh Rosli Abdul Jalil
2012/01/31



KUANTAN: Pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan diteruskan walaupun mendapat bantahan beberapa pihak terutama kakitangannya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat kerajaan, JBA akan menjadi satu badan korporat dan dikenali sebagai Perbadanan Air Pahang (PAIP), bermula esok. Katanya, pengkorporatan itu tidak perlu ditangguh kerana kerajaan negeri sudah melakukan kajian dan mengadakan perbincangan terperinci sebelum memutuskan untuk berbuat demikian. “Saya tidak nampak mengapa ada pihak perlu membantah kerana melalui proses ini, tiada seorang pun pegawai tinggi atau kakitangan rendah JBA akan diberhentikan.

“Sebaliknya, ia akan meningkatkan kecekapan JBA, terutama pengurusannya menjadi lebih berkesan,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Hadiah Pakaian dan Beg Sekolah Yayasan Pahang 2012 di Kompleks Yayasan Pahang di sini, semalam.

Adnan diminta mengulas desakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman supaya kerajaan negeri menangguhkan pengkorporatan jabatan itu.

Omar dipetik sebagai berkata, warga kerja JBA tidak diberi maklumat berkaitan terma dan syarat pengkorporatan.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, kekeliruan itu berpunca daripada salah faham dan akan diperjelaskan dalam sesi penerangan yang akan diadakan secepat mungkin kepada pegawai dan kakitangan JBA.

“Seperkara lagi, apa yang akan berlaku ialah JBA tidak diswastakan tetapi dikorporatkan, iaitu hibrid antara swasta, korporat dan elemen kerajaan.

“Ia tidak menumpukan sepenuhnya kepada aspek perniagaan tetapi masih ada elemen kerajaan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Adnan turut memberi jaminan bahawa tarif air tetap sama dan tidak akan dinaikkan selepas PAIP mengambil alih perkhidmatan bekalan air di negeri ini, malah akan diberi peruntukan tetap RM50 juta setahun untuk tempoh lima tahun bagi mempertingkatkan sistem bekalan air di seluruh negeri.

Katanya, pengkorporatan JBA tidak akan merugikan kerajaan kerana tujuannya adalah untuk melupuskan hutang kerajaan.

“Kita tidak akan membuat sesuatu yang tidak disukai dan menyusahkan rakyat kerana kita mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat,” katanya sambil meminta kakitangan JBA tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang sentiasa mencari jalan menggagalkan usaha kerajaan.

CUEPACS TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK SBPA

Berita Harian
2012/01/31



KUALA LUMPUR: CUEPACS menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menyediakan satu kertas kerja yang komprehensif berhubung penambahbaikan skim itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kertas kerja itu akan turut merangkumi lima tuntutan yang dibuat oleh kesatuan sekerja berkenaan sebelum ini. Omar berkata, jawatankuasa itu akan diketuai Timbalan Presiden I CUEPACS, Azih Muda dan dianggotai kira-kira 15 ahli jawatankuasa. Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Omar berkata, jawatankuasa itu akan menyiapkan kertas kerja berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KSN SAETUJU TIGA LAGI PEMIMPIN KANAN CUEPACS ANGGOTAI PASUKAN KHAS KAJI SBPA

Bernama
31/1/2012



PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bersetuju dengan permintaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu menganggotai pasukan petugas khas semakan semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Beliau berkata tidak ada masalah jika mereka hendak menyertai pasukan itu kerana memang menjadi hasrat kerajaan serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendengar pandangan pihak lain yang terlibat.

"Tiada masalah kerana kalau tidak terima mereka sekarang, nanti kita kena menyakinkan mereka juga, lebih baik libatkan mereka dari awal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Majlis Kebajikan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) di sini.

Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata permohonan berhubung perkara itu akan dihantar kepada Mohd Sidek pada Rabu.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dicadang menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

-- BERNAMA

CUEPACS AKAN MOHON KEPADA KSN BERHUBUNGAN LANTIK TIGA LAGI WAKIL

Bernama
31/1/2012



KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan membuat permohonan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berhubung tiga lagi pemimpin kanan kesatuan itu untuk menganggotai pasukan petugas khas semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan mengemukakan surat kepada Mohd Sidek esok berhubung perkara itu bagi mempertimbangkan permohonan tersebut.

"Awal dulu lagi kita sudah maklumkan bahawa kita hendakkan tiga lagi tambahan pegawai Cuepacs dalam pasukan petugas itu.

"Mungkin kalau nak permohonan, kita akan hantar surat esok, untuk menambah tiga orang lagi anggota Cuepacas sebelum 8 Feb (mesyuarat kedua pasukan petugas khas)," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi pasukan petugas itu Tan Sri Ismail Adam semalam bahawa pasukan itu tidak mempunyai kuasa untuk melantik atau memilih tiga lagi pemimpin kanan Cuepacs bagi menganggotai pasukan berkenaan.

Katanya sebaliknya hanya Mohd Sidek mempunyai kuasa untuk menentukan perkara itu.

Tiga pemimpin kanan Cuepacs yang dicadangkan untuk menganggotai pasukan itu ialah Timbalan Presiden 1 Azih Muda, Setiausaha Agung Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan Jaafar Mansor.

Pasukan petugas khas itu kini dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan.

Cuepacs sebelum ini, menegaskan bahawa pihaknya tetap dengan pendirian tidak menyertai pasukan petugas khas itu, sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan menganggotai pasukan tersebut.

Bagaimanapun, Omar berkata jika masih tiada surat jemputan diterima, beliau tetap akan menghadiri mesyuarat kedua yang dijadual pada 8 Feb, tetapi akan mengisytiharkan secara rasmi untuk menarik diri.

"Ini bukan keputusan Omar Osman tetapi menghormati keputusan kongres dan anggotanya. Cuepacs hari ini adalah harapan 1.3 juta penjawat awam di seluruh negara," katanya.



-- BERNAMA

CUEPACS TUBUH JAWATANKUASA BERTINDAK BAGI MENAMBAH BAIK SBPA

Bernama
31/1/2012



KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Cuepacs bagi menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata kertas kerja yang berdasarkan kepada lima tuntutan utama Cuepacs sebelum ini, dijangka disiapkan dalam tempoh tiga minggu bermula 10 Feb, sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jawatankuasa dianggotai 15 orang dan dipengerusikan Timbalan Presiden 1 Cuepacs Azih Muda, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Bengkel Khas SBPA anjuran kongres itu, di sini.

Lima tuntutan Cuepacs itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata antara cadangan awal Cuepacs ialah meletakkan hanya tujuh daripada 36 jawatan sebagai jawatan premier iaitu Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendahaan, Ketua Audit Negara, Peguam Negara, Akauntan Negara dan Hakim Negara.

Katanya yang lain kekal dalam jawatan Turus namun dinaikkan ke jawatan Turus yang baru.

Bagi penjawat awam yang gajinya sudah mencapai tahap maksimum, Cuepacs mencadangkan agar diberi kenaikan mengikut tempoh penjawat berada pada gaji maksimum iaitu jika 10 tahun diberi lima kenaikan, lapan tahun (empat kenaikan), enam tahun (tiga kenaikan), empat tahun (dua kenaikan) dan dua tahun menikmati satu kenaikan.

Mengenai kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dalam SBPA, Cuepacs mencadangkan kenaikan 13 peratus bagi Gred 1 hingga 40 dan 10 peratus bagi Gred 41-54 dilakukan mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM).

"Selepas kenaikan itu berlaku, barulah pemindahan gaji berlaku kepada Gred SBPA. Maknanya seseorang itu yang dalam gred SSM, akan berlaku satu kenaikan di bawah skim SSM, dan apabila tukar kepada SBPA dia akan tukar kepada gaji berhampiran.

"Barulah berlaku adil dan saksama, nak sama dengan yang atas tak boleh, tetapi berlaku keseimbangan bukan berlaku seperti sekarang ini yang berlaku kenaikan hanya antara RM20 dan RM60," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kekananan jawatan yang hilang apabila penjawat memilih opsyen SBPA dikembalikan.

Cuepacs juga mencadangkan agar nama beberapa jawatan ditukar bagi mencerminkan tugas hakiki mereka.

Dalam pada itu, Omar berkata satu perhimpunan membabitkan penjawat awam Gred 1 hingga 54 akan diadakan pada Mac ini bagi memberi penerangan secara terperinci mengenai intipati SBPA.

Berhubung dakwaan terdapat segelintir penjawat awam yang telah menerima gaji berdasarkan skim SBPA serta pesara mendapat pencen yang tinggi, beliau berkata Cuepacs tidak menerima maklumat mengenai perkara tersebut.

-- BERNAMA

30 Januari 2012

CUEPACS PROTES PAHANG SWASTA JBA

Wartawan Sinar Harian
29 Januari 2012


TEMERLOH - Seramai 1,700 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan mengadakan bantahan jika permintaan mereka agar pengkorporatan dan penswastaan agensi itu pada 1 Februari ini ditangguhkan, tidak dipedulikan.

Presiden Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, penangguhan itu perlu kerana mereka belum mendapat penerangan dan maklumat lengkap mengenai rasional cadangan pengkorporatan serta penswastaan
tersebut.

"Cuepacs tidak ada pilihan lain kecuali akan bertindak mengadakan bantahan besar-besaran yang membabitkan semua kakitangan JBA Pahang sekiranya pengkorporatan ini diteruskan kerajaan, walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

"Saya merayu bagi pihak kakitangan JBA Pahang supaya Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pengkorporatan ini sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan Pemindahan Gaji Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBA Pahang anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Air di Bangunan Persekutuan Temerloh di sini semalam.

Hadir sama Presiden KKPP Jabatan Kerja Raya dan Air Pahang Sayuti Dollah.

Omar juga berkata, penangguhan pengkorporatan itu adalah wajar kerana tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBA Pahang.

Beliau berkata, 80 peratus daripada kakitangan JBA di Pahang menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaru atas arahan ketua jabatan masing-masing.

Omar berkata, ketika ini, SBPA dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya.

"Sepatutnya, pihak berkenaan terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBA Pahang secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan JBA Pahang sendiri," katanya. - Bernama

CUEPACS TETAP ENGGAN SERTAI PANEL SEMAK SBPA

Berita Harian
Oleh S Anand Kumar
2012/01/30




KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA. “Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu.
“Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.
Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.

28 Januari 2012

ISU SBPA: 5 TUNTUTAN CUEPACS

Berita Harian
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my
2012/01/28



pix_gal0
Presiden CUEPACS beri kata dua tarik diri jika syarat tidak dipenuhi

  • Kaji semula pindaan gaji Gred 54 ke bawah Kaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum
  • Kaji kekananan dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA
  • Kaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus
  • Semak penstrukturan semula semua gred penjawat awam

    GEORGETOWN: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan tumpuan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan, terutama bagi penjawat awam gred 54 dan ke bawah.
  • 27 Januari 2012

    BAYARAN GAJI FEBRUARI PENJAWAT AWAM BERDASARKAN SSM

    Bernama
    27/1/2012




    KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Februari akan dibayar berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), setelah kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semulanya dimuktamadkan.

    Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pembayaran baki perbezaan gaji bulan Januari bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA pada 31 Jan ini juga tidak dapat dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini pada 9 Jan.

    "Pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat setelah semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Jan 2012," katanya.

    Menurut kenyataan itu, keputusan itu juga berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

    Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA.

    -- BERNAMA

    TANGGUH PENGKORPORATAN JBAP

    Utusan Malaysia
    29/1/2012



    TEMERLOH 29 Jan. - Kerajaan negeri diminta menangguhkan pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) kerana para pegawai dan kakitangannya belum mendapat penerangan serta maklumat lengkap tentang cadangan itu.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, seramai 1,700 pegawai dan kakitangan jabatan itu belum mendapat maklumat secara menyeluruh berkaitan perkara tersebut.

    Menurutnya, mereka tidak memperoleh maklumat berkaitan terma dan syarat pengkorporatan tersebut sama ada ia menambah baik perkhidmatan mereka atau sebaliknya.

    Tegasnya, CUEPACS akan bertindak mengadakan bantahan secara besar-besaran membabitkan semua warga JBAP sekiranya pengkorporatan itu diteruskan pada 1 Februari ini walaupun ia mendapat bantahan rakyat.

    ''Saya merayu bagi pihak kakitangan JBAP supaya Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan kuasanya menangguhkan pengkorporatan tersebut sebelum semua isu berbangkit dapat diselesaikan demi faedah kedua-dua pihak.

    ''Pandangan mereka perlu diambil kira dan dibawa berunding sebelum pelaksanaan pengkorporatan diteruskan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penerangan pemindahan gaji skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan pengkorporatan JBAP anjuran Kesatuan Kebangsaan Pekerja (KKPP) Jabatan Bekalan Raya dan Air di Bangunan Persekutuan Temerloh, di sini, hari ini.

    Omar berkata, seramai 80 peratus daripada jumlah kakitangan jabatan itu di negeri ini menandatangani surat opsyen persetujuan tanpa mengetahui butiran perkhidmatan terbaharu atas arahan ketua jabatan masing-masing.

    Tambahnya, penangguhan itu wajar kerana dipercayai tiada langsung rundingan rasmi setiap wakil kesatuan yang terlibat sedangkan ia membabitkan masa depan kakitangan JBAP.

    "Pengkorporatan itu perlu dikaji semula bagi memastikan semua pihak mendapat faedah tanpa mengabaikan mana-mana kakitangan, khususnya dalam aspek gaji, kekananan dan sebagainya.

    "Sepatutnya pihak terbabit terlebih dahulu menyelesaikan isu SBPA sebelum meneruskan agenda pengkorporatan JBAP yang dilihat secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak, khususnya kakitangan mereka sendiri," jelasnya.

    CUEPACS KEMUKA 5 PEKARA UTAMA SEMAKAN SEMULA SBPA

    Berita Harian
    2012/01/27



    GEORGETOWN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata lima perkara itu tertumpu kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan ke bawah. Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang sudah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.
    "Kami harap hasil semakan semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas taklimat SBPA kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini.

    Omar berkata, beliau juga meminta supaya tiga lagi pegawai tertinggi dalam CUEPACS dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA itu.

    "Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya. Saya adalah wakil kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain," katanya.

    Selain itu katanya, CUEPACS akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi penerangan kepada penjawat awam mengenai SBPA.
    "Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai," katanya.

    SBPA yang sepatutnya dilaksanakan bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakan persatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.

    Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pada pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepada kerajaan. - BERNAMA

    26 Januari 2012

    JPA HARUS PRIHATIN RUNGUTAN PENJAWAT AWAM

    Berita Harian
    Oleh Rejal Arbee
    2012/01/26




    Implikasi SBPA tak dimaklum secara telus, kakitangan bawahan tidak dapat manfaat

    SISTEM Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang cuba hendak dipaksa ke atas keseluruhan 1.3 juta warga perkhidmatan awam akhir tahun lalu, kini sedang menjalani kajian menyeluruh hasil arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan banyaknya bantahan terhadap cara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) cuba hendak memaksa penerimaannya. Mereka juga dikatakan tidak diberikan masa cukup untuk menelitinya bahkan butiran lengkap cadangan itu juga tidak diberikan. Ini telah menimbulkan banyak persoalan kenapa JPA begitu terdesak mahu melaksanakannya. Dikatakan warga awam hanya diberikan masa tidak sampai dua minggu untuk membuat pilihan kalau tidak, mereka akan menghadapi risiko yang boleh menjejaskan kedudukan mereka dalam perkhidmatan.

    Persoalan yang timbul kenapa segala implikasi dan akibatnya tidak diterangkan kepada semua kakitangan awam? Kenapa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri tidak pula dibawa berunding dari awal lagi supaya segalanya kelihatan telus?

    Bukankah orang ramai sentiasa diberi nasihat meneliti sebarang apa yang mereka mahu tandatangani dan mengetahui ‘the small print’ sebelum bersetuju? Tetapi bagi SBPA ini nampaknya JPA sendiri tidak mahu warga perkhidmatan awam bersikap demikian.

    Apakah akibatnya daripada perlakuan demikian? Bukankah ia telah menimbulkan amarah di kalangan majoriti kakitangan awam hingga ada yang mengugut mahu berpaling tadah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat.
    Apakah ini muslihat beberapa kerat pegawai kanan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap SBPA ini? Hanya mereka yang boleh menjawab.

    Keluhan beberapa warga awam dalam beberapa blog membuka mata terhadap apa sebenarnya berlaku. Kata seorang: “Beberapa bulan lalu kakitangan awam berasa sangat gembira apabila skim gaji baru diumumkan Perdana Menteri membabitkan kenaikan antara tujuh hingga 13 peratus, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

    “Andaian kami sudah pasti kakitangan kerajaan pada gred paling rendah akan menikmati kenaikan 13 peratus sementara gred paling tinggi iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan mendapat kenaikan tujuh peratus.

    “Namun sangkaan ini meleset apabila melihat kepada tawaran opsyen dikemukakan JPA. Kami diarahkan untuk membuat opsyen dalam keadaan sangat tergesa-gesa tanpa mendapat penjelasan mengenai skim gaji baru itu daripada ketua jabatan. Apabila mendapat surat opsyen berkenaan, kami diarahkan untuk menurunkan tandatangan pada borang opsyen pada masa itu juga”.

    Kata seorang lagi: “Ketua pengarah JPA sudah buat kesilapan, akibatnya kerajaan dimarah oleh kakitangan sendiri. Perkara ini menjadi modal pembangkang untuk hentam kerajaan.

    “Sebagai contoh ketika taklimat, soalan diajukan tidak dapat dijawab dengan tepat, sebaliknya jawapannya ialah akan berlaku kenaikan gaji daripada SSM kepada SBPA. Tentunya ada tetapi berapakah kenaikan? RM1 pun kenaikan juga”.

    Kata seorang lagi: “Yang aku pelik, kenapa masih nak berahsia sangat pasal lampiran ‘C’ tu? Bila tanya pada ketua pejabat, jawapannya ‘rahsia’. Macam mana hendak sign kalau rahsia?

    Seorang lagi berkata demikian: “Sebagai contoh tawaran yang diberi kepada pegawai bawahan saya yang berada pada gred paling rendah dalam kerajaan iaitu untuk jawatan Pekerja Awam Gred R1 yang dulunya dipanggil ‘buruh’ yang berkhidmat selama 15 tahun, bergaji pokok RM1,242.09 hanya mendapat kenaikan RM88.

    “Jika dihitung naik 13 peratus, beliau sepatutnya mendapat RM161.47. Sebaliknya jumlah kenaikan diperoleh itu hanya lebih kurang tujuh peratus.

    “Begitu juga dengan kerani yang berjawatan Pembantu Tadbir Gred N17 yang sudah berkhidmat selama lebih kurang sembilan tahun bergaji pokok RM1,369.39. Beliau hanya mendapat kenaikan RM61 iaitu tidak sampai pun lima peratus”.

    Semua ini adalah rungutan sebenar yang sepatutnya sudah diteliti supaya tidak wujud rasa tidak puas hati sedemikian. Dalam pada itu dikatakan pula kenaikan yang diberikan kepada pegawai atasan termasuk yang ditakrif sebagai ‘Premier’ dan ‘JUSA’ langsung tidak setimpal.

    Apakah ini tidak menunjukkan bagaimana songsangnya pertimbangan yang diberikan kepada warga bawahan berbanding pegawai atasan?

    Anehnya skim itu kononnya adalah dalam rangka perjalanan kerajaan mahu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

    Bagaimana mahu mencapai matlamat itu kiranya kakitangan bawahan hanya diberikan kenaikan serendah RM10 sebulan berbanding kenaikan mencecah RM8,000 bagi pegawai JUSA?

    Ini bermakna jurang pendapatan bukan lagi dapat dirapatkan tetapi akan bertambah renggang dengan yang sudah pun menerima ganjaran besar menerima kenaikan yang sungguh tinggi, walhal mereka yang sepatutnya diberikan imbuhan lebih tinggi tidak mendapat pertimbangan demikian, malah diberikan serdaknya saja.

    Inikah caranya pimpinan perkhidmatan awam mahu merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara yang tertinggi dengan yang terendah?

    Maka tidak menghairankan kenapa hampir keseluruhan 1.3 juta warga membantah melalui CUEPACS yang juga lambat memberikan reaksi hanya kerana tidak mengetahui apa sebenarnya yang disarankan.

    Jadi persoalannya apa agaknya ada dalam pemikiran mereka yang membuat cadangan itu dan cuba memaksa warga awam menelan apa yang cuba disogok?

    Baik jugalah kini Perdana Menteri menyedari betapa buruknya akibat usaha itu dengan kesedaran bagaimana kiranya ia dibiarkan saja kemungkinan besar ramai daripada 1.3 juta warga awam tidak akan lagi memihak kerajaan kiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

    Hanya beberapa kerat pegawai yang mencipta dan memikirkan skim itu saja boleh jawab apa sebenarnya muslihat mereka mengadakan skim yang begitu songsang.

    Penulis adalah Felo Kanan di UKM

    TEMPOH TIGA BULAN CUKUP UNTUK PASUKAN KHAS SEMAK SEMULA SBPA

    Bernama
    26/1/2012




    PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.

    Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

    "Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di sini Rabu.

    Pasukan semakan itu yang bermesyuarat selama kira-kira dua jam turut dianggotai Cuepacs, pegawai kanan JPA, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.

    Ismail berkata buat masa ini terlalu awal untuk pasukan itu membincangkan mengenai cadangan atau penambahbaikan SBPA kerana pihaknya masih menunggu maklum balas daripada penjawat awam sehingga 15 Feb depan untuk membuat sebarang cadangan.

    Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas itu diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA dan mestilah memuaskan semua pihak sebelum dilaksanakan.



    -- BERNAMA

    25 Januari 2012

    SBPA: TEMPOH 3 BULAN WUJUDKAN SKIM TERBAIK

    Utusan Malaysia
    25/1/2012



    KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.

    Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.

    "Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.

    "Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

    Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

    Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.

    "Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.

    Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.

    "Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.

    24 Januari 2012

    3 BULAN SEMAK SBPA LANGKAH TERBAIK, ADIL

    Berita Harian
    2012/01/23



    KUALA LUMPUR: CUEPACS menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan bagi semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai langkah terbaik dan adil kepada penjawat awam.

    Presidennya, Omar Osman berkata, setiap kali kongres mengadakan taklimat di seluruh negara, kira-kira 1.3 juta penjawat awam terutama kakitangan Gred 54 ke bawah dan Kumpulan Pelaksana Satu dan Dua memang melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap SBPA sedia ada. “Ketika ini skim itu dilihat seolah-olah berat sebelah, tidak adil dan mempunyai jurang besar daripada segi keistimewaan pekerja kelas atasan dan bawahan. Justeru, kita menyambut baik keputusan Perdana Menteri supaya SBPA diperbaiki dengan mengambil kira cadangan dan suara hati penjawat awam semua peringkat bagi memastikan nasib kami lebih terbela. “Pada masa sama, kita mahu keistimewaan diterima kumpulan atasan disemak semula menentukan sama ada benar-benar layak diterima atau sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab dan bebanan tugasan masing-masing,” katanya semalam.

    Beliau mengulas kenyataan Najib supaya pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang akan memuaskan hati setiap penjawat awam semua peringkat.

    Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam di seluruh negara pada Februari ini untuk membincangkan semakan semula SBPA.

    22 Januari 2012

    SBPA: JANGAN KETEPIKAN PANDANGAN CUEPACS

    Utusan Malaysia
    22/1/2012



    KUALA LUMPUR 21 Jan. - Jawatankuasa khas membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diharap tidak mengetepikan pandangan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

    Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, segala input yang diperoleh daripada pihaknya serta penjawat awam perlu digembleng oleh jawatankuasa tersebut agar sebuah penyelesaian memuaskan semua pihak dapat dikeluarkan.

    "CUEPACS juga berharap tempoh kajian selama dua bulan sehingga 16 April depan dipercepatkan supaya sebuah SBPA baru yang efisien dapat diperkenalkan secepat mungkin.

    "Bagaimanapun, SBPA tersebut perlulah dikaji dengan komprehensif mengambil kira pandangan CUEPACS, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lain-lain wakil kerajaan supaya tiada pertikaian akan timbul selepas ini," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar jawatankuasa khas tersebut diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA.

    Najib berkata, skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

    Jelas Omar, antara isu yang memerlukan penelitian terperinci daripada jawatankuasa yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam itu termasuk kekeliruan kenaikan gaji kategori JUSA dan pengenalan Kumpulan Premier.

    Katanya, jawatankuasa tersebut juga perlu bersikap berkecuali dengan mengkaji skop SBPA agar ia merangkumi semua peringkat penjawat awam dan tidak hanya terhad kepada kakitangan Gred 54 ke bawah sahaja.

    Beliau menambah, pihaknya turut mendesak agar usul yang diterbitkan jawatankuasa melibatkan empat wakil CUEPACS sebelum ini diambil serius oleh kerajaan bagi mengelakkan masalah berbangkit.

    "CUEPACS juga membantah sekeras-kerasnya jika gaji penjawat awam mula dibayar mengikut SBPA sebelum keputusan penambahbaikan daripada jawatankuasa tersebut dikeluarkan," ujarnya.

    NAJIB BERI TEMPOH 3 BULAN

    Utusan Malaysia
    Oleh HERMAN HAMID

    KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

    Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

    "Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.

    "Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua," katanya.

    Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.

    Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.

    Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.

    Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

    Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.

    Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.

    "Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.

    Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.

    Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.

    "Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.

    "Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'

    "Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita," ujarnya.

    JAWATANKUASA KHAS KAJI SBPA DIBERI TEMPOH TIGA BULAN- NAJIB

    Bernama
    22/1/2012


    KUANTAN, 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Perdana Menteri berkata skim baru berkenaan mestilah mendapat kepuasan semua pihak sebelum dilaksanakan.

    "Kerajaan akan pertimbangkan sebaik-baiknya agar ia memberi kepuasan kepada semua," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam negeri Pahang di sini.

    Turut hadir bersama hampir 7,000 penjawat awam itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

    Najib berkata kerajaan amat prihatin terhadap sebarang rasa tidak puas hati dan dakwaan kepincangan sistem baru itu dan bersedia menimbang rayuan yang dibuat dalam menambahbaikan sistem berkenaan.

    Perdana Menteri baru-baru ini mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

    Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

    Najib berkata kerajaan juga bersedia menimbangkan pemberian gaji yang lebih kepada penjawat awam, bagaimanapun ia perlukan dikaitkan dengan peningkatan produktiviti mereka.

    "Kerajaan boleh bagi tambahan gaji dan bonus tetapi ia perlu dikaitkan dengan produktiviti yang tinggi, kalau ekonomi menguncup, mana mana nak bagi kenaikan gaji dan bonus?," katanya.

    Beliau berkata penjawat awam dilihat sebagai kumpulan yang amat penting dalam pentadbiran negara kerana apa jua dasar dan agenda besar bergantung kepada peranan serta sumbangan mereka.

    "Penjawat awam adalah sekumpulan dalam pentadbiran negara, penting kerana apa agenda besar negara yang hendak dibawa kerajaan pada kesudahannya, kesampaiannya, bergantung kepada peranan dan sumbangan penjawat awam di seluruh negara, sama ada di peringkat pusat atau negeri," kata Najib.

    Perdana Menteri berkata kerajaan juga sedang dan akan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan menggunakan strategi baru yang perlu didukung penjawat awam bagi mencapai impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

    "Menjelang fajar 2020, kita hendak mencapai sebuah negara maju, saya anggap wawasan yang dibuat (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu impak kepada negara, itulah yang kita sambut ketika itu, dan kurang daripada 10 tahun, kita nak capai negara maju, inilah cabaran kepada kita," katanya.

    Najib berkata kerajaan yang ketika ini melaksanakan pelbagai transformasi baru, juga melaksanakan pelbagai strategi baru bagi mencapai hasrat berkenaan.

    "Ada kalanya strategi yang digunakan dahulu (pimpinan sebelum ini) baik dan tepat, tapi strategi itu menjadi kekangan (pada masa ini) dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya.

    Justeru, Najib berkata pendekatan di bawah kepimpinannya ketika ini adalah menggunakan strategi yang dilihat mampu untuk mencapai kesinambungan dan harapan kepimpinan sebelum ini, dan ia perlulah didukung semua pihak terutamanya penjawat awam.

    Dalam ucapannya itu, Najib turut menyentuh berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang menurutnya rakyat dilihat lebih "senang" menerima bantuan sedemikian berbanding bantuan yang tidak dilihat dalam bentuk wang tunai, misalnya pemberian subsidi dan kemudahan prasarana yang dilaksanakan kerajaan.

    "Bajet 2012, short term, selagi tak merasa (wang), tak puas hati, jadi kita putuskan beri BR1M. Bila kita tolong (beri) subsidi (kepada barang keperluan), itu (dilihat sebagai) perkara biasa, subsidi bertambah kepada RM22 bilion untuk bantu rakyat bagi tahun ini," katanya.

    Najib berkata pemberian BR1M sebenarnya bertujuan membantu golongan rakyat yang susah dan ia terjemahan daripada slogan 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan".

    "Kalau kita hendak berjaya dalam abad ke-21 ini, ide kita mestilah lebih baik daripada orang lain bagi mencapai transformasi besar, namun kita mestilah berpijak di bumi nyata.

    "Kalau dah terbukti (kepimpinan kerajaan Barisan Nasional), kalau dah proven (rakyat) tak perlu tolak. Apa yang perlu adalah kepada penambahbaikan, (rakyat) janganlah tolak sesuatu yang sudah terbukti (kepimpinan pemerintahan).

    "Saya tak kata kita (kerajaan sedia ada) perfect. Kalau tak betul, kita akui dan kita buat penambahbaikan dalam semua perkara," katanya.

    -- BERNAMA

    20 Januari 2012

    PERBINCANGAN SEMAKAN GAJI BABITKAN KESATUAN SEKERJA, WAKIL KEMENTERIAN

    Utusan Malaysia
    20/1/2012




    Mohd. Sidek Hassan bersalam dengan Omar Osman (kanan) sambil disaksikan oleh Ismail Adam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.


    PUTRAJAYA 18 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.

    Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

    ''Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

    ''Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.

    Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.

    Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

    Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.

    ''Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai," katanya.

    Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).

    ''Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan," katanya.

    KES DR NOOR SOERAYA TERPENCIL DAN BUKAN DISEBABKAN KELEMAHAN SISTEM

    Bernama
    19/1/2012



    PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Kes membabitkan bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, adalah terpencil dan tidak bermakna terdapat kelemahan dalam sistem kenaikan pangkat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

    Beliau sebaliknya menegaskan sistem itu bagus kerana berupaya mengesan penipuan.

    "Tak ramaipun,saya harap tak ramailah daripada 1.4 juta penjawat awam, cuma satu dua, okeylah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat pelantikan kepada anggota pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Rabu.

    Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, Mohd Sidek berkata jika wujud penipuan, individu yang melakukannya patut dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan atau jawatan.

    "Kita hanya kecundang kalau kita tidak ambil tindakan," katanya.

    Dr Noor Soeraya dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Seremban semalam dan mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan kenaikan pangkat.



    -- BERNAMA

    19 Januari 2012

    WAKIL PERSATUAN, SEKERJA DIJEMPUT SERTAI PERBINCANGAN SBPA IKUT KEPERLUAN

    Bernama
    19/1/2012



    PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Wakil persatuan dan kesatuan sekerja yang mewakili skim perkhidmatan tertentu serta pihak lain yang berkaitan, akan dijemput dalam perbincangan pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pasukan petugas itu juga akan berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang dibangkitkan.

    "Namun demikian diingatkan bahawa kerajaan juga mempunyai kekangan tertentu yang mungkin tidak akan dapat memenuhi kehendak semua pihak. Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah dihargai," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat pelantikan kepada anggota pasukan itu di sini Rabu.

    Beliau berkata kerajaan amat prihatin dengan aduan dan rungutan orang ramai termasuk penjawat awam, dan bersedia mendengar serta menelitinya untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan.

    Pada sidang akhbar selepas itu, Mohd Sidek berkata beliau yakin dengan kemampuan pengerusi pasukan petugas berkenaan iaitu bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam yang berpengalaman luas.

    "Sudah tentu semua hasrat dan permasalahan akan didengari, ia termasuklah hasrat penjawat awam peringkat tinggi dan juga peringkat rendah.

    "Tetapi apa yang penting di sini ialah produktiviti, jika ada kenaikan gaji, maka haruslah ada juga peningkatan produktiviti," katanya.

    Pada majlis itu, sepuluh anggota pasukan petugas tersebut menerima watikah pelantikan masing-masing dengan didahului pengerusinya, diikuti Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Farida Mohd Ali serta Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun.

    Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan Datuk Nozirah Bahari, Pengarah Pembangunan Organisasi JPA Datuk Basaruddin Sadali, Pengarah Saraan JPA Raja Noor Zaedah Raja Ahmad dan Pengarah Perkhidmatan JPA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

    Pasukan itu turut dianggotai Timbalan Pengarah Belanjawan (Dasar) Bahagian Pengurusan Belanjawan Kementerian Kewangan K Givananadam, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Saraan, Wang Awam dan Khidmat Pengurusan Kementerian Kewangan Hazanah A Bakar serta Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.



    -- BERNAMA

    18 Januari 2012

    MESYUARAT PERTAMA SEMAK SBPA SELEPAS TAHUN BARU CINA

    Utusan Malaysia
    18/1/2012



    PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.

    Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

    ''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

    Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

    Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

    Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

    Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

    Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

    ''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya.

    17 Januari 2012

    NUTP MAHU DILIBATKAN DALAM SEMAKAN SEMULA SBPA

    Bernama
    17/1/2012




    PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.

    "Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

    Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

    Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.

    Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.

    Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.

    "Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya.



    -- BERNAMA

    14 Januari 2012

    MINDA PENGARANG: JPA, CUEPACS PERLU RUMUS MEKANISME LAKSANA SISTEM SARAAN BARU.

    Berita Harian
    2012/01/14




    MELIHAT pada pelbagai masalah yang dibangkitkan kakitangan awam pada peringkat awal pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), memang wajarlah ia disemak semula bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir keseluruhan kakitangan perkhidmatan awam kurang berpuas hati dengan SBPA, khususnya berhubung kenaikan struktur gaji yang mengandungi banyak kekeliruan. Malah ada kakitangan awam yang mendakwa ketua jabatan tidak faham serta tidak dapat memberikan penjelasan berhubung kemusykilan yang dikemukakan ketika sesi taklimat. Kita berharap semua pihak menerima baik keputusan terbaharu kerajaan ini untuk manfaat 1.4 juta kakitangan awam yang memilih SBPA. Langkah selanjutnya ialah di antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memperincikan butiran mengenai peralihan gaji yang menjadi rungutan kumpulan tertentu, sehingga ada yang mendakwa menerima kenaikan terlalu rendah dalam skim baru itu. Penjawat awam sebelum ini diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

    Tempoh singkat itu menyebabkan kakitangan kerajaan yang tidak memahami dengan jelas skim yang ditawarkan itu dikehendaki menandatangani borang opsyen sebelum 30 Disember 2011, tidak dapat membezakan manfaat yang diperoleh di antara skim lama, Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan SBPA. Tempoh penerimaan opsyen kemudian dilanjutkan sehingga 15 Januari 2012. Menyedari masalah yang dihadapi kakitangan awam inilah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengumumkan keputusan Kabinet yang mahukan SBPA disemak semula, supaya perbincangan boleh diadakan dengan pihak berkaitan. Mekanisme semakan semula itu yang ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, bertujuan menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA. Apapun, kakitangan awam tidak perlu bimbang kerana skim baru itu akan tetap dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012 selepas semakan semula dimuktamadkan. Apa yang penting ialah JPA dan CUEPACS perlu merumuskan mekanisme terbaik dalam SBPA supaya semua pihak berpuas hati dan skim gaji baru ini dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak merugikan mana-mana pihak.

    SBPA DISEMAK SEMULA SECARA KESELURUHAN, KATA NAJIB

    Bernama
    14/1/2012




    PARIT BUNTAR, 14 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula berdasarkan keseluruhan skim berkenaan.

    Beliau berkata semakan semula itu akan turut mengambil kira pandangan pihak yang tidak berpuas hati.

    "Kita tidak usah pre-empt (buat tindakan awal) dulu. Apa keputusan kita akan tengok semula, di mana kita akan tengok berdasarkan pada skim keseluruhannya dan kita akan mendengar kalau ada mana-mana pihak yang rasa tak puas hati.

    "Sama ada jumlah kenaikan terlalu kecil atau 'parity'(setara) dengan kumpulan tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2011 di sini hari ini.

    Khamis lepas Najib mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.

    Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilaporkan berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

    Pasukan itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

    Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

    Terdapat kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.

    Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

    Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

    -- BERNAMA

    TEGAS TANPA TERBURU-BURU

    Utusan Malaysia
    Oleh NURUL ANUAR KARI
    anuar.kari@yahoo.com
    14/1/2012




    Wakil majikan dan agensi pekerjaan menyerbu Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya baru-baru ini untuk menguruskan permohonan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.


    RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat.

    Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

    Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran.

    Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji.

    Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.

    Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi.

    Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan.

    Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.

    “Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing.

    “Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya.

    Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.

    Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.

    “Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat.

    “Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya.

    Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang.

    “Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai.

    “Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya.

    Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.

    “Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas.

    “Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya.

    Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa.

    Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua.

    “SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka.

    “Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.

    Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun.

    “Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak.

    “Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya.

    Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah.

    “Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya.

    “Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.

    Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya.

    Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti.

    Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan.

    Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya.

    Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.

    WAKIL GURU MINTA DILIBATKAN DALAM PERBINCANGAN SBPA

    Utusan Malaysia
    15/01/2012 12:17am




    SHAH ALAM 14 Jan. – Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) yang mewakili kira-kira 430,000 guru di seluruh negara meminta agar dilibatkan secara menyeluruh dalam perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Pengerusinya, Jemale Paiman berkata, skim itu banyak memberi kesan kepada guru terutama dalam kenaikan gaji dan laluan kerjaya.

    Skim itu juga dilihat turut meminggirkan guru senior dalam perjawatan dan tidak mementingkan faktor pengalaman dan kemahiran dalam bidang tugas serta tanggungjawab mereka, katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mesyuarat mengenai SBPA bagi perkhidmatan pendidikan bersama presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman di sini hari ini.

    Majlis itu turut dihadiri pemimpin dari 26 kesatuan dan persatuan guru Kementerian Pelajaran. Pada majlis itu MPKPG turut menyerahkan memorandum kepada Omar berhubung cadangan penambahbaikan pelaksanaan SBPA bagi perkhidmatan pendidikan. – BERNAMA

    13 Januari 2012

    SEMAK SEMULA SBPA: CUEPACS MAHU JADI SUARA UTAMA

    Utusan Malaysia
    13/01/2012 10:02pm



    KUALA LUMPUR 13 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu turut terlibat dalam jawatankuasa perbincangan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) agar tiada lagi isu berbangkit selepas ia dimuktamadkan.

    Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini berikutan pada perangkaan peringkat awal skim berkenaan, CUEPACS tidak dipanggil untuk berunding atau memberi sebarang pandangan.

    “Oleh itu, kami perlu menjadi ‘suara’ utama dalam perbincangan dengan jawatankuasa semakan semula bagi memberi pandangan dan menyampaikan maklum balas daripada penjawat awam.

    “Suara itu mewakili semua pengurusan dan kesatuan sekerja yang menyuarakan pelbagai persoalan dan pandangan dalam siri jelajah seluruh negara sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat CUEPACS, dekat sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan SBPA akan disemak semula bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan skim tersebut.

    Katanya, CUEPACS akan menjelajah ke seluruh negara bermula awal Februari ini bagi menerangkan kepada semua penjawat awam berhubung semakan semula skim berkenaan.

    “Penjawat awam dinasihatkan bersabar dan tenang menjalankan tugas masing-masing seperti biasa kerana tempoh dua bulan semakan semula itu diyakini akan melegakan semua pihak.

    “Mereka juga tidak perlu bimbang tentang tarikh pelaksanaan SBPA yang sudah berkuat kuasa kerana tunggakan pembayaran gaji akan dibuat setelah dimuktamadkan.

    Dalam pada itu, Osman berharap semakan semula itu nanti akan menjadikan skim tersebut dilihat lebih adil dan saksama kepada seluruh penjawat awam tidak kira aspek kenaikan gaji atau sebagainya. Kalau boleh biarlah ia dijadikan satu skim yang merangkumi segalanya. – UTUSAN

    CUEPACS MAHU LEBIH ' SUARA' DALAM SEMAKAN SEMULA SBPA

    Bernama
    13/1/2012




    KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

    Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat awam tidak berpuas hati.

    "Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini Jumaat.



    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.



    Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.



    Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan jerayawara, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina, bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.



    "Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA)," katanya.



    Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.



    Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.



    "Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan," katanya.

    Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Jan ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Dis lepas.



    Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.



    Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.



    -- BERNAMA

    PASUKAN PETUGAS DIBERI DUA BULAN SEMAK SEMULA SBPA

    Bernama
    13/1/2012




    KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata pasukan petugas itu, yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam, diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April, untuk mengkaji isu-isu yang berkaitan dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.

    Pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Cuepacs serta pegawai kementerian yang berkaitan.

    "Pasukan petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

    "Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh satu bulan dari kenyataan media ini iaitu pada 15 Feb," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

    Isu-isu itu boleh dialamatkan kepada farida.sbpa@jpa.gov.my atau :

    Datuk Farida Mohd Ali,

    Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,

    Jabatan Perkhidmatan Awam,

    Aras 13, Blok C1, Kompleks C,

    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,

    62510 Putrajaya

    Mohd Sidek berkata bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad hasil semakan semula itu dibuat.

    "Bagi mereka yang telahpun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut kekal," katanya.

    Mohd Sidek berkata kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji.



    -- BERNAMA

    SBPA: DENGAR SUARA KAMI, KATA CUEPACS

    Sinar Harian
    January 13, 2012




    Penjawat awam usah gopoh

    KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu mempunyai 'suara' dalam perbincangan berhubung semakan semula terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) supaya tiada isu berbangkit selepas ia dilaksanakan kelak.

    Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata sebelum ini, badan itu hanya dimaklumkan selepas skim berkenaan dirangka, menyebabkan kebanyakan penjawat
    awam tidak berpuas hati.

    "Kami (Cuepacs) harus menjadi peranan utama dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA) supaya kami boleh memberi pandangan," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Cuepacs di sini hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim SBPA akan disemak semula dan ia bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang
    dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaannya.

    Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.

    Mengulas lanjut, Omar berkata pihaknya akan mengadakan roadshow, seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, di seluruh negara selepas Tahun Baru Cina,
    bagi menjelaskan penangguhan pelaksanaan skim SBPA.

    "Dalam roadshow itu, kita juga akan dapatkan pandangan daripada ahli-ahli untuk dibangkitkan dalam jawatankuasa (untuk menyemak semula SBPA)," katanya.

    Beliau juga berharap dengan semakan semula terhadap SBPA, yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan, akan memberi keadilan kepada semua penjawat awam terutama berhubung kenaikan dan tangga gaji baru.

    Sehubungan itu, beliau meminta penjawat awam supaya bersabar kerana percaya semakan semula yang dibuat terhadap skim SBPA akan lebih memuaskan hati mereka.

    "Penjawat awam juga jangan bimbang kerana tarikh SBPA dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012. Kalau, ia dilaksanakan misalnya bulan Jun, mereka akan tetap dapat tunggakan," katanya.

    Katanya sebanyak 600,000 penjawat awam sudah menandatangani surat tawaran skim SBPA sebelum ini.

    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.

    Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim
    perkhidmatan yang lama.

    Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.- Bernama

    SBPA: PANEL KHAS DITUBUH, BERI 2 BULAN SYOR

    Sinar Harian
    G MANIMARAN
    January 13, 2012



    SHAH ALAM - Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas bagi menyemak semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang pelaksanaannya mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan majoriti kakitangan awam.

    Pasukan itu yang akan diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, diberi dua bulan untuk membuat semakan.

    Mengumumkan perkara itu petang ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pasukan tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

    Katanya, pasukan khas itu ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

    Pasukan Petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) serta Pegawai kementerian yang berkaitan.