SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

04 Disember 2010

APAKAH TEGURAN DIBERI PERHATIAN?

Berita Harian
Oleh Rejal
Arbeerejal@mcoba.org
3/12/2010



Penjawat awam perlu berubah bantu lonjak imej kerajaan

PANGGILAN telefon seorang rakan karib dari Kota Bharu lewat malam kelmarin membuatkan saya terfikir juga apakah yang dituliskan selama ini diambil kisah oleh pelbagai pihak berkepentingan, termasuk jabatan, kementerian atau agensi kerajaan.
Tetapi apakah jika pun tiada siapa yang ambil peduli terhadap apa yang ditimbulkan, pada pandangan saya agensi kerajaan yang bersangkutan itulah yang harus melihat diri mereka dan berfikir serius apakah mereka inginkan maklum balas atau terus saja melakukan apa yang mereka hendak lakukan dan abaikan saja sebarang teguran.

ini seperti anjing menyalak bukit saja? Mungkin inilah yang berada pada benak pemikiran agensi kerajaan itu! “Apa yang kami hendak kisahkan. Kami bukannya bekerja untuk kolumnis akhbar”. Pandangan ini timbul daripada pelbagai teguran yang sudah dibuat dalam kolum ini sejak begitu lama, tetapi tidak diketahui apakah ada reaksi pihak yang bersangkutan. Saya juga terkilan dengan sikap akhbar sendiri. Ada perkara yang ditimbulkan jelas berkehendakkan adanya tindakan susulan, yang mana agensi berkaitan ditegur ditanya apa tindakan susulan yang mereka hendak lakukan hasil daripada cadangan atau teguran yang dibuat.

Tetapi susulan demikian pun tidak dibuat. Jadi mungkin juga agensi berkenaan terus saja tidak ambil kisah sebab akhbar sendiri pun tidak mahu ambil tahu susulan daripada syor yang ditimbulkan. Pimpinan negara sudah berbuih mulut mahu semua jabatan dan agensi kerajaan bersikap lebih mesra dengan pelanggan. Tetapi nampaknya masih banyak antara mereka itu berterusan lunak dengan kedudukan mereka tanpa mahu meningkatkan khidmat yang diberikan selama ini. Kata orang putih: ‘They are too comfortable with themselves’. Maka mereka berterusan sajalah dengan corak perjalanan mereka tanpa menghiraukan segala cadangan dan teguran yang mahu mereka membaiki khidmat kepada orang ramai. Tetapi jika ini pun mereka tidak hiraukan, mereka sendirilah menanggung akibatnya, bukan penulis.

Mungkin pandangan mereka apa yang hendak dikisahkan. Kami digaji oleh kerajaan untuk menjalankan apa yang sepatutnya. Kalau pun ada yang ditimbulkan ia bukan akan menjejaskan kedudukan kami. Peduli apa kami terhadap teguran itu. Jadi yang penting untuk pertimbangan mereka ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaik mungkin yang dipertanggungjawabkan. Jika agensi itu menganggap mereka sudah memikul apa yang mereka patut jalankan dengan sebaik mungkin dan pandangan yang diberi hanyalah pendapat seorang yang sudah tidak lagi mempunyai apa-apa pengaruh ini adalah hak mereka. Tetapi jika pelanggan mereka mempunyai pandangan negatif terhadap khidmat yang mereka berikan apakah ini pun mereka tidak menghiraukan? Merekalah yang akan memikul bebanan pandangan serong orang ramai, khususnya orang yang berurusan dengan mereka terhadap khidmat yang tidak memuaskan.

Inilah mentaliti dunia ketiga yang terus terpahat di sanubari mereka. Persetankan usaha kerajaan hendak melonjakkan negara ini ke kelompok negara maju. “Apa yang kami hendak hiraukan? Biarlah kami pada takuk pemikiran sempit kami”. Jika beginilah sikap kakitangan kerajaan, saya khuatir apakah matlamat mencapai kedudukan sebagai negara maju akan tercapai. Dari segi prasarana fizikalnya mungkin kita akan dapat melonjakkan diri ke peringkat itu, tetapi malangnya dari segi pemikiran kita masih berada dalam kelompok dunia ketiga. Ini mengingatkan saya terhadap suatu tulisan oleh blogger Syed Akbar Ali dalam blognya ‘OutSyed the Box’ September lalu. Beliau memberikan pelbagai kisah benar bersangkutan dengan cara kerja sesetengah agensi kerajaan dan swasta yang menggambarkan mentaliti kakitangannya tidak prihatin dan tidak mahu memberikan khidmat terbaik.

Ini adalah daripada sikap mahu terus makan gaji tanpa mahu perbetulkan diri sendiri atau mahu berikan khidmat terbaik demi kebaikan orang ramai. Orang begini sepatutnya sudah dinyahkan. Mereka inilah yang memberikan imej buruk terhadap khidmat yang boleh diharapkan daripada kerajaan. Jadi apakah saya akan berterusan menulis mengenai kelemahan yang terus wujud ini baik dalam agensi kerajaan mahupun badan lain memandangkan mereka sedikit pun tidak ambil kisah terhadap teguran membina? Saya akan teruskan apa yang sepatutnya kerana ia tidak merugikan saya. Yang rugi ialah badan itu yang tidak kisah dengan timbal balik pandangan orang terhadap khidmat berikan. Jika mereka mahu berterusan mempunyai pemikiran dunia ketiga begini ia adalah hak mereka. Mereka jugalah akhirnya yang akan menghadapi apa-apa risikonya. Pandangan orang ramai terhadap mereka akan berterusan buruk. Tetapi lama-kelamaan pelanggan sendiri akan bosan dengan sikap negatif begini dan mereka sendirilah yang akan menanggung akibatnya.

Dua isu ditimbulkan beberapa minggu lalu sudah cukup memberikan gambaran mengenai sikap begini. Pertamanya bagaimana masih wujud kekeliruan orang ramai khususnya pengusaha makanan halal di kalangan bukan Islam terhadap apa yang mereka perlu lakukan untuk mendapatkan sijil itu. Saya sudah menimbulkan persoalan bagaimana kita mahu menjadi hab pengeluaran makanan halal untuk pasaran dunia kalau pihak bertanggungjawab mengeluarkan sijil ini pun tidak prihatin terhadap teguran dengan pendirian segala keterangan sudah pun ada dalam laman web mereka. Dengan sikap begini tidak menghairankan bukan Melayu berterusan memandang serong terhadap mereka. Susah sangatkah hendak bersikap lebih proaktif dan berjumpa dengan pelanggan? Kita yang memberi khidmat bukan bermakna kita tunggu saja. Jika hendak berfikiran maju kitalah harus berusaha menemui semua pelanggan.

Pandangan Pengarah Urusan Wesria Food, Mohd Taib Ali baru-baru ini bahawa JAKIM hendaklah menyelaras, memudah dan menyeragamkan proses pemberian sijil halal kepada syarikat yang memohon memandangkan kita mahu menjadi hab makanan halal sedunia, harus diberi perhatian. Proses yang telus menjadikan JAKIM lebih dipercayai dan diiktiraf sehingga ke peringkat global. Dua minggu sebelum itu saya sudah menyarankan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mengadakan perjumpaan dengan semua pengeluar makanan untuk menghuraikan dengan terperinci apa yang JAKIM/JAIN kehendaki daripada pengusaha dan berbincang bagaimana hal ini boleh dibaiki dan dilicinkan.

Susah sangatkah untuk melakukan hal ini? Saya juga menyarankan agensi kerajaan memberi pertimbangan sewajarnya kepada semua pakar kita yang bertungkus-lumus menjalankan kerja penyelidikan yang ada di antaranya sudah membuahkan hasil. Janganlah hendaknya hasil titik peluh mereka itu dimanfaatkan orang lain dan negara lain baru kita hendak membuka mata. Tidak salah wujudkan Perbadanan Bakat (Talent Corporation) untuk membawa balik pakar kita di luar negara. Tetapi sebagai usaha pertamanya ia hendaklah mengumpul atau mengadakan inventori lengkap terhadap semua pakar kita yang sedia ada dalam negara.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Tiada ulasan: