SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

29 Disember 2010

MTUC: DUA KESATUAN PENYOKONG KUAT ZAINAL RAMPAK 'RUJUK' BALIK

The Malaysia Insider
Oleh G. Manimaran
December 29, 2010


PETALING JAYA, 29 Dis — Dua kesatuan gabungan berpengaruh, yang dilihat ‘merajuk’ selepas Datuk Zainal Rampak gagal mempertahankan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) enam tahun lalu, kembali ‘merujuk’ sempena pemilihan kali ini.

Keputusan itu membolehkan kesatuan gabungan itu, yang menyediakan 15 undi, menyertai pemilihan kali ini yang pengundiannya sedang berlangsung.

Keputusan dijangka diumumkan lewat petang nanti. Salah satu kesatuan gabungan ialah Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan (TWU) yang Zainal masih merupakan setiausaha agungnya. Salah lagi ialah Kesatuan Pekerja-pekerja KTM (RUM).

Kedua-dua kesatuan itu pernah melahirkan pemimpin-pemimpin kanan MTUC. Dua pemimpin kanan TWU iaitu Zainal dan mendiang Dr V David menerajui MTUC atas kapasiti sebagi presiden dan setiausaha agung.

Donald U’ren dan Abdul Gafor masing-masing pernah menyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.

Pemimpin RUM juga pernah memimpin Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), antaranya Mohamad Abas sebagai presidennya.

Abdul Razak Md Hassan
“Kami bukan merajuk tetapi saya meluangkan masa untuk memperkukuhkan kesatuan saya (RUM) terlebih dahulu. Kalau kesatuan kita sendiri tidak cantik, macam mana kita hendak mencantikkan badan induk kesatuan macam MTUC,” kata Presiden RUM Abdul Razak Md Hassan (gambar) kepada The Malaysian Insider pada hari kedua persidangan tiga tahunan MTUC di Wisma Peladang di sini hari ini.

Hari kedua persidangan menyaksikan proses pemilihan. Pada pemilihan 2004 Zainal tewas di tangan Syed Shahir Syed Mohamud.

Hari ini, Syed Shahir mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.

Ekoran keputusan enam tahun lalu, sekitar 10 kesatuan yang menyokong Zainal didakwa memutuskan untuk menjauhkan diri daripada aktiviti MTUC dengan tidak membayar yuran dan oleh itu, kesatuan-kesatuan itu dianggap sebagai tidak aktif.

Status mereka diaktifkan semula susulan yuran keanggotaan mereka dijelaskan termasuk mereka boleh menyertai persidangan dan pemilihan pucuk kepimpinan sebagai perwakilan yang sah.

The Malaysian Insider difahamkan TWU membayar yurannya baru-baru ini. Bagaimanapun Zainal tidak kelihatan pada persidangan kali ini.

Semalam beliau membuat kenyataan mengenai sistem pengangkutan awam bas dan siri kemalangan yang disaksikan baru-baru ini.

Abdul Razak yang bertanding jawatan timbalan presiden berkata, beliau mahu membawa balik kesatuan-kesatuan yang keluar dan mereka yang sudah tidak aktif lagi.

Langkah kesatuan-kesatuan yang kembali ke pangkuan untuk aktif semula dilihat akan memberi sokongan kepada beliau.

Beliau juga mengakui TWU dan RUM pernah muncul kesatuan gabungan berpengaruh satu ketika dahulu.

“Mengambil kira kepentingan sistem pengangkutan awam sekarang, saya lihat kesatuan-kesatuan sektor pengangkutan mempunyai peranan penting dalam MTUC,” katanya.

Inisiatif itu juga merupakan salah satu perkara yang digariskan dalam manifesto Abdul Razak pada pemilihan kali ini.

“Saya ada hantar mesej SMS kepada Datuk Zainal semalam, baru semalam saya tahu kesatuan Zainal sudah kembali aktif... saya ucapkan terima kasih kerana TWU kembali aktif.

“Keputusan kami bukan sesuatu yang dirancang, tetapi secara kebetulan dan saya mahu lebih banyak kesatuan gabungan kembali ke pangkuan MTUC,” kata bekas ‘orang kuat’ Zainal ini.

Tiada ulasan: