SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

02 Disember 2010

KENAIKAN PANGKAT PENJAWAT AWAM DI PERAK DIKAJI SEMULA - ADUN BELANJA

Bernama
2/12/2010




IPOH, 2 Dis (Bernama) -- Kenaikan pangkat bagi penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Perak perlu dikaji semula bagi mengelak kemerosotan prestasi berikutan berlakunya kenaikan yang berdasarkan 'dekat dengan pegawai atasan', kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Belanja Datuk Mohd Zaim Abu Hasan.

Beliau berkata amalan kenaikan pangkat penjawat awam itu 'menyimpang' daripada amalan biasa iaitu berdasarkan merit dan kebolehan.

"Ini menyebabkan timbulnya keresahan, gangguan dan rasa terhina di kalangan penjawat awam yang komited seterusnya mengakibatkan prestasi khidmatnya menurun. Jadi kerajaan perlu kaji balik kenaikan pangkat ini supaya keresahan hati penjawat aman dapat dikawal," katanya semasa membahaskan Bajet 2011 Perak pada hari ketiga persidangan DUN di sini Khamis.

Selain itu, beliau juga meminta Lembaga Air Perak (LAP) mengkaji semula pengeluaran bil air dua bulan sekali kepada sebulan sekali bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat yang mempunyai gaji harian dan rendah.

Katanya apabila bil dikeluarkan dua bulan sekali ia akan lebih membebankan golongan itu apabila berlakunya tunggakan.

Mohd Zaim juga mencadangkan supaya LAP terus membuat siasatan berhubung kes kebocoran paip rumah apabila ia dilaporkan tanpa perlu pengguna membayar separuh daripada jumlah bil terlebih dahulu.

Sementara itu, Exco Kanan Datuk Hamidah Osman yang ditemui di luar persidangan berkata pihaknya telah menasihatkan syarikat ternakan itik, Viatak Enterprise supaya membuat laporan polis berhubung isu tanah lombong yang menjadi tempat ternakannya.

Beliau berkata tanah lombong berkenaan adalah hak milik Gopeng Berhad tetapi Viatak telah menandatangani perjanjian bagi mengusahakan tanah berkenaan dengan seorang individu yang tidak mempunyai hak bagi pihak Gopeng Berhad.

"Masalah ini tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri dan Gopeng Berhad juga mengetahui perkara ini. Pihak pembangkang sudah ketandusan idea dengan membangkitkan isu yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri ke dalam persidangan kali ini. Ini adalah perbalahan antara pihak swasta," katanya.

Isu mengenai tanah itu dibawa ke persidangan hari ini oleh wakil pembangkang Chang Lih Kang (PKR-Teja).

Sementara itu, Khalil Idham Lim (PAS-Titi Serong) akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak atas dakwaan tidak bercakap benar dan enggan bertanggungjawab atas perkara yang diperkatakan pada persidangan DUN hari ini kerana menuduh terdapat Adun membawa bomoh ketika dewan bersidang pada 7 Mei.

Usul supaya Adun Titi Serong itu dirujuk kepada jawatankuasa itu dibuat oleh Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (BN-Kamunting) mengikut Perkara 36(3)(a) Perintah Tetap dan disokong Tan Sri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu).

Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) turut akan dirujuk ke jawatankuasa itu apabila didakwa menuduh Exco kerajaan negeri Selangor menerima rasuah ketika mencelah perbahasan Datuk Mohamad Daud Mohd Yusoff (BN-Selama).

Usul untuk membawa Hasbullah ke jawatankuasa itu dibuat Chang Lih Kang (PKR-Teja) mengikut perkara yang sama dengan disokong oleh Chang Ming Kai (PKR-Simpang Pulai).

Speaker Datuk R.Ganesan yang meluluskan usul itu berkata notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada mereka.

Persidangan bersambung esok.



-- BERNAMA

Tiada ulasan: