SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 Disember 2010

SOAL JAWAB: PRODUKTIVITI, DISPLIN LEBIH ADIL MENILAI PRESTASI PERKHIDMATAN

Berita Harian
14/12/2010




CUEPACS syor tumpuan kepada latihan, sistem mata gaji kakitangan awam diubah

JANGKA hayat peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), sistem diperkenalkan lapan tahun lalu untuk menilai kecekapan kakitangan awam hanya berbaki kira-kira tiga minggu lagi. Apa reaksi CUEPACS, kesatuan sekerja mewakili kakitangan sektor itu dan paling lantang mahu PTK dimansuhkan sebelum ini. Wartawan Edisi Mingguan, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH menemui Presiden CUEPACS, Omar Osman dan memperincikan kaedah penilaian yang diguna pakai kerajaan bagi menilai lebih 1.2 juta kakitangannya.
AKHIRNYA desakan CUEPACS supaya PTK dimansuhkan tercapai. Apa sebenarnya punca sistem ini tidak diterima?

CUEPACS pada awalnya akur dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) pada Oktober 2002 kerana kita lihat banyak kebaikan dan pembaharuan. Namun, selepas lima tahun dilaksanakan, kami lihat banyak masalah timbul. Pada awalnya semua lancar dengan kakitangan awam lulus PTK dapat naik pangkat walaupun tanpa kekosongan jawatan dan anjakan gaji, tetapi selepas itu jika lulus PTK pun tiada jaminan naik pangkat walaupun ada kekosongan, malah gaji pun tak dianjakkan. Dalam sesetengah kes, ada yang dapat naik pangkat, tapi tak naik gaji, ada yang naik gaji tapi tak naik pangkat, lebih malang yang lulus PTK pun tak dapat kedua-duanya.

CUEPACS nampak selama lapan tahun PTK berjalan, banyak masalah timbul dan objektifnya tak tercapai malah tiada kajian keberkesanannya dibuat. Kita pernah diminta bagi cadangan penambahbaikan PTK, namun masalah tetap tak selesai, malah menyusahkan lagi kakitangan kerana terpaksa meninggalkan tugas hakiki sebab nak beri perhatian kepada peperiksaan.

Pelaksanaan PTK tak ikut seperti termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Awam, malah PTK tak menjanjikan naik pangkat kerana terikat dengan kuota jawatan. Dalam sesetengah kes, PTK bukan kayu pengukur kenaikan pangkat kerana ketua jabatan tak luluskan kenaikan itu. Lebih malang jika lulus PTK dan dapat sokongan ketua jabatan pun, tapi prestasi tak cemerlang tak juga dapat naik pangkat. Begitu juga sebaliknya, kakitangan dapat sokongan ketua dan jadi pekerja cemerlang dengan mata 80 peratus ke atas, tapi kerana tak lulus PTK, dinafikan hak naik pangkat. Ini bererti kenaikan pangkat dan anjakan gaji bergantung kepada tiga faktor ini, bukannya PTK saja diambil kira.

Kita nampak masalah dalam SSM menyebabkan ada pekerja junior mendahului pekerja senior. Akibat tak lulus PTK, ada kakitangan berkhidmat 25 tahun tak naik-naik gaji dan pangkat walaupun berpengalaman luas, malah mereka pula mengajar junior yang sudah jadi ketua. Kita juga lihat soalan dikemukakan dalam PTK tak menepati bidang kerja kakitangan. Itu sebabnya ramai tak lulus walaupun praktikal mereka bagus dalam tugas. Penyedia soalan adalah jawatankuasa khas di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, bukan pegawai di jabatan masing-masing.
Tarikh pemansuhan PTK sudah diumumkan iaitu 1 Januari ini, tapi belum ada sistem baru untuk menggantikannya?

Bagi CUEPACS, pemansuhan PTK tepat pada masanya kerana memang ini yang kita harapkan. Kita dapati masalah PTK ini menyebabkan pekerja protes secara senyap, mereka tak lagi bekerja bersungguh-sungguh malah ada yang melanggar disiplin kerana bosan selepas asyik tak lulus periksa atau rasa terpinggir apabila ada rakan yang lulus PTK dapat naik pangkat dan anjakan gaji. Kini ramai yang memuji langkah kerajaan dan berasa lega.

Jadi apa cadangan CUEPACS untuk menilai kakitangan awam?

Kita cadangkan sistem penilaian baru yang mengambil kira pengalaman, produktiviti dan kualiti, bukannya berdasarkan peperiksaan, sokongan ketua jabatan dan penilaian prestasi saja. Ada banyak cara lain untuk mengukur kompetensi kakitangan awam, lebih baik fokus pada integriti. Jika integriti tinggi, prestasi cemerlang dan produktiviti bagus, ada peluang naik pangkat dan gaji terutama badan beruniform dan penguatkuasaan seperti tentera dan polis. Daya kreativiti dan inovatif kakitangan awam juga perlu diambil kira dalam penilaian untuk naik pangkat dan gaji kerana bukan semua boleh berfikiran seperti itu. Disiplin dan kerajinan juga harus diambil kira. Semua itu disekat dalam PTK.

Bagaimana mahu mengelakkan ketidakadilan dalam menilai prestasi kakitangan?

CUEPACS pernah suarakan supaya pandangan pekerja diambil kira sebelum buat sistem baru supaya apabila dilaksanakan nanti, tidak mendatangkan masalah seperti PTK. Kita tak mahu sistem baru nanti mencedok atau menggabungkan sistem lama dengan penambahbaikan saja, kita mahu sistem benar-benar baru yang tidak lompong, lebih adil dan saksama serta tak menyusahkan penjawat awam, membazir wang kerajaan dan membuang masa. Tak perlu ada peperiksaan dan kursus lagi, sebaliknya beri tumpuan kepada latihan meningkatkan kecekapan dan kualiti pekerja. Sekarang saya nampak ada jabatan kerajaan mendapat pelbagai anugerah, namun prestasi pekerja masih rendah, jadi ia tak melambangkan kecemerlangan keseluruhan. Saya pasti kecemerlangan jabatan bergantung kepada kecemerlangan kakitangannya. Justeru, faktor ini juga perlu diambil kira dalam penilaian prestasi pekerja untuk naik pangkat dan anjakan gaji. Kita juga mahu JPA mengkaji penambahan lima tangga mata gaji setiap gred perkhidmatan awam berbanding tiga sekarang bagi mengelak gaji maksimum diterima kakitangan awam untuk tempoh yang lama. Selepas had umur persaraan dinaikkan kepada 58 tahun, sepatutnya sistem mata gaji diubah kerana tempoh perkhidmatan bertambah. Kita tak mahu ada kakitangan berada dalam tahap gaji maksimum terlalu lama. Sekarang ada penjawat awam gajinya tak naik lebih 12 tahun kerana sudah capai maksimum.

Difahamkan sistem penilaian baru nanti akan menepati kriteria Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Apa pandangan CUEPACS?

Setiap agensi atau jabatan kerajaan ada hala tuju, matlamat, piagam pelanggan dan sasaran masing-masing. Ketua jabatan juga ada strategi untuk menunjukkan keupayaan jabatan masing-masing. Justeru, saya bersetuju sistem baru nanti perlu menepati KPI. Kita tak mahu KPI jabatan terlaksana dengan jayanya, tapi nasib pekerja tak terbela. Kita tak mahu ada yang kerja 30 tahun, tak dapat naik pangkat. Saya percaya jika sistem penilaian baru nanti dapat menyelesaikan masalah yang wujud, produktiviti perkhidmatan awam dapat ditingkatkan.

8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

memang masa gubal PTK dulu JPA tak nampak masalah ini, sebab itu JPA ini bukan boleh harap sangat. JPA sendiri kelihatan lemah..apalagi nak fikir soal 1.3 juta pemjawat awam...

Bertukarlah 10 kali pun ketua JPA tapi idea dan mentaliti tetap sama..tak nampak wibawa..menyusahkan penjawat awam...

Kalau pegawai2 tinggi di JPA tak ada idea..tiru saja idea negara luar, lebih senang...asalkan memberi manfaat pada penjawat awam..ataupun tanya penjawat awam sendiri nak macam mana? atau kalau tak boleh juga...pegawai2 tinggi JPA tu berhentilah..gantilah dengan orang lebih berwibawa..

Kes penjawat awam lama asyik ketinggalan dalam kenaikan pangkat, kenaikan gaji memang banyak dlm perkhidmatan awam..JPA tak rasa hairan ke dengan perkembangan begini..? Orang lama pula terpaksa tunjuk ajar orang baru dlm banyak hal..orang baru pula dah kurang hormat orang lama sebab bila2 masa saja mereka boleh naik pangkat, naik gaji berbanding orang lama..

Orang lama/tua bukanlah bertenaga macam orang muda..contoh kalau lawan berjalan, naik tangga, berlari dan sebagainya sudah tentu orang baru yg menang, jarang orang lama menang..ada JPA sedar soal ini..orang lama pun masa muda mereka cergas dan hebat macam orang baru juga..

Patut ke kalau kerajaan merevolusikan JPA dan ganti dengan kepimpinan baru dan wajah baru?

Tanpa Nama berkata...

HARAP JANGANLAH PTK DIGANTIKAN DENGAN YANG LEBIH MENYUSAHKAN. DULU SSB HANYA BERDASARKAN LNPT SAJA. SSM PULA DITAMBAH PTK.

Tanpa Nama berkata...

TERAMAT SANGAT SOKONG statement ini. Soking 1000000%

"Kita juga mahu JPA mengkaji penambahan lima tangga mata gaji setiap gred perkhidmatan awam berbanding tiga sekarang bagi mengelak gaji maksimum diterima kakitangan awam untuk tempoh yang lama. Selepas had umur persaraan dinaikkan kepada 58 tahun, sepatutnya sistem mata gaji diubah kerana tempoh perkhidmatan bertambah. Kita tak mahu ada kakitangan berada dalam tahap gaji maksimum terlalu lama. Sekarang ada penjawat awam gajinya tak naik lebih 12 tahun kerana sudah capai maksimum."

Hakim berkata...

JPA telah menghasilkan satu sistem yang betul-betul memalukan dan merugikan. Iaitu PTK....

Semua pengarah dalam JPA patut dibagi pergerakan gaji statik dan digantung anugerah khidmat cemerlang untuk 10 tahun. Sebab merka tidak capai tahap kecemerlanagan yang dijangkakan.

PTD Cerdik berkata...

kesian kakitangan sokongan. terkinja2 nakkan gaji yg byk dengan kerja yg sikit. muhasabah la diri tu sikit. duu mak ayah dah pesan belajar rajin2 tapi x nak dengar..

PA yang pernh masuk U amik kos yg senang2 pastu x dpt kerja n jadi sokongan pun jgn la asyik bising psl gaji yee

Tanpa Nama berkata...

PTK Tidak Relevan Di Sektor Awam

PTk bukanlah penilaian sebenarnya kecekapan dalam sektor awam PTK merupakan seperti kembali kezaman persekolahan yg hanya mengeluarkan mereka yg banyak dan kuat menghafal dalam sistem pembelajaran di negara kita ini.

Dalam satu kajian yg telah dibuat dalam proses kebolehan menghafal ini kalangan pelajar perempuan lebih mendahuluinya berbanding dengan pelajar lelaki sebab itulah di bidang2 seperti ini lebih ramai dikalangan kaum perempuan dan sebaliknya pula dibidang teknikal kaum lelaki lebih dilihat lebih praktikal dan berkebolehan.

Budaya hafalan seperti ini adalah tidak wajar diteruskan bagi melahirkan penjawat awam yg kreatif,berinovasi dan produktif sebagaimana yang dihasrat oleh kerajaan.

Budaya kreatif dan Inovasi ini perlu disuburkan disektor awam ini bagi mencapai sebagai hasrat sebagai sebuah negara maju yang boleh standing serta dapat bersaing dengan negera2 maju,

Mekanisme yg baru serta lebih telus dan berintegeriti perlu ujud di Sektor awam agar semua awam dapat keadilannya.

Tanpa Nama berkata...

Wahai PA penganti PTK yg baru nanti lebih mencabar dan susah lagi dpd sekarang dan sukar lagi PA utk naik pangkat dan gaji sebab sudah ramai PA telah lulus PTK naik pangkat dan gaji mereka mahu sekat PA naik gaji dan pangkat dan mereka berusaha cari cari utk menyukarkan PA naik pangkat dan gaji oleh itu kerajaan cari jalan utk menyekat PA dpd perkara tersebut berlanjutan kerajaan tidak mampu bayar gaji PA naik gaji dan pangkat.

PA fahamlah sekarang siapa yg diutamakan oleh kepimpinan kita sekarang dan mereka itu yg dapat kebahagian dan kecerahan masa depan yg tertindas terus tertekan.

Tanpa Nama berkata...

Pertanyaan - mengapa KPM tidak dapat buat pengeluaran wang GCR sedangkan permohonan telah dibuat sejak tahun lepas