SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Oktober 2010

TANGGUH PINDAH KUARTERS JALAN COCHRANE- CUEPACS

Utusan Malaysia
3/10/2010



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan supaya menangguhkan arahan pemindahan lebih 500 keluarga yang tinggal di kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini ke Putrajaya sebelum 15 Disember ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, penangguhan itu disebabkan tarikh diberi tidak sesuai dan terlalu singkat kerana ramai anak penjawat awam yang tinggal di situ akan menghadapi peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Peperiksaan tersebut melibatkan masa depan anak-anak penjawat awam dan masalah seperti ini boleh memberi gangguan kepada mereka bagi menghadapi peperiksaan kelak.

"Sekiranya arahan itu diteruskan, saya khuatir anak-anak mereka tidak dapat memberi sepenuh perhatian terhadap peperiksaan dan seterusnya gagal," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan dialog dengan penghuni kawasan tersebut di pekarangan Surau Attaufiqiah di sini hari ini.

Omar memberitahu, isu tersebut akan dibawa dan dibincangkan ke mesyuarat khas Majlis Kongres CUEPACS pada minggu depan.

"Selepas itu, kami akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta menangguhkan perpindahan ini.

"CUEPACS tidak berniat menghalang kerajaan membangunkan kawasan itu tapi biarlah secara bijaksana kerana ia melibatkan jumlah penjawat awam yang ramai termasuk daripada golongan orang kurang upaya (OKU)," jelasnya.

Beliau menambah, kebajikan penjawat awam hendaklah dijaga termasuk daripada kumpulan sokongan satu dan dua kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Kos untuk berpindah bukan murah kerana ia melibatkan wang yang agak banyak dan ini akan membebankan mereka.

"Sekiranya permohonan menangguhkan arahan perpindahan tersebut gagal, CUEPACS mohon kepada kerajaan agar memberi wang pampasan RM5,000 kepada setiap keluarga bagi meringankan beban mereka," katanya.

Tiada ulasan: