SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

01 Oktober 2010

LINDUNGI ANGGOTA PENGUAT KUASA

Utusan Malaysia
1/10/2010




BUKIT MERTAJAM 30 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan supaya menyediakan skim insurans kepada anggota-anggota penguat kuasa yang kini semakin terdedah kepada ancaman dan serangan penjenayah.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, kes serangan terhadap anggota penguat kuasa termasuk polis, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), imigresen dan pihak berkuasa tempatan kini berada pada tahap kritikal dan memerlukan pembelaan yang sewajarnya.

"Pada masa ini hanya skim ex-gratia disediakan kepada kakitangan awam yang terlibat dalam kemalangan dan mengalami hilang upaya kekal. Saya fikir skim ini perlu dikaji semula.

"Kita mendapati banyak kes melibatkan serangan ke atas penguat kuasa tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Ada (anggota) yang cacat disimbah asid tetapi tidak mendapat pampasan kerana tidak dilindungi skim insurans yang lebih khusus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat anggota penguat kuasa JPJ, Sarudin Mansor, 37, yang cedera disimbah asid pada Julai lalu di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri.

Sarudin yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ di pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sungai Petani, Kedah cedera parah di muka dan badan akibat disimbah asid oleh lelaki tidak dikenali ketika memandu kereta ke pejabatnya pada 5 Julai lalu.

Omar menambah, beliau akan membawa isu tersebut dalam mesyuarat bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar kebajikan pekerja beruniform lebih diambil berat.

Sementara itu, Sarudin berkata, walaupun kecederaan parah itu menjejaskan pergerakannya, tragedi itu tidak melemahkan semangatnya untuk kembali bertugas apabila pulih kelak.

"Saya tak pernah terfikir perkara seperti ini berlaku kepada saya selepas 15 tahun bertugas sebagai penguat kuasa JPJ, tetapi ia bukan alasan untuk saya lemah semangat kerana ini adalah tugas saya.

"Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana membenarkan saya bertugas semula di Pulau Pinang, sekurang-kurangnya saya dekat dengan keluarga," tambahnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya elaun keselamatan perlu diberikan kepada anggota penguatkuasa kerana ia melibatkan risiko dan ancaman.Terdapat juga anggota penguatkuasa yang sedang hamil dibiarkan membuat pemeriksaan kontena.Cuepacs diharap buat pemantauan terhadap kes ini sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku.